Skip to main
Logo Malaysiakini

Masayu berlapang dada terima guntingan LPF untuk Paku Tanah Jawa

Pelakon terkenal Indonesia Masayu Anastasia akur dengan ketetapan Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF) berhubung beberapa babak Paku Tanah Jawa yang perlu disunting untuk penyesuaian klasifikasi 16 di negara ini.

Masayu berkata, dia menerima dengan hati terbuka keputusan itu walaupun berasakan beberapa babak yang disunting - termasuk adegan panas - sebenarnya tidaklah keterlaluan.

“Sayangnya apabila ada beberapa babak terpaksa dipotong di Malaysia. “Sejujurnya, bagi saya adegan (panas) yang disunting itu tidak terlalu parah.

“Mahu tidak mahu, mana-mana pengkarya luar harus akur dengan tapisan filem di negara ini.

“Pihak penerbit juga teliti dengan setiap peraturan LPF, jadi itulah yang harus dikekalkan,” katanya.

Untuk rekod, filem seram arahan pengarah Indonesia, Bambang Drias, besama pengarah serta penerbit tempatan, KK Chua, itu menerima lapan suntingan daripada pihak LPF.

Pun begitu, Masayu, 40, berharap tapisan tersebut tidak menjejaskan pemahaman penonton terhadap jalan penceritaan yang ingin disampaikan pengarah.

“Justeru, saya harap jalan cerita filem ini sampai di mata penonton,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Paku Tanah Jawa yang berlangsung di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Paku Tanah Jawa itu mengangkat kisah urban legend di Tanah Jawa. Antaranya berkisahkan budaya di daerah Jawa yang menceritakan tentang Gunung Tidar - salah satu tempat yang dianggap keramat penduduk Indonesia.

Perlu bersahabat dengan ular

Karya itu menceritakan perihal seorang gadis, Ningrum, yang selalu dipandang negatif oleh masyarakat kampung kesan daripada daripada amalan ibunya, Handini, yang mendekati ramai lelaki untuk dijadikan mangsa korban ritual.

Handini sanggup akur dengan syarat utama ketua ajaran sesat, Kanjeng Semanu, untuk berusaha mencari mangsa agar dia sentiasa kelihatan cantik dan digilai ramai sekali gus dapat meneruskan kelangsungan hidupnya sebagai sinden (penyanyi).

Selain Handini, pelakon Indonesia lain turut menjayakan Paku Tanah Jawa ialah Gisellma Firmansyah, Landung Simatupang dan Wafda Saifan Lubis manakala pelakon tempatan pula ialah rapper MK K-Clique dan Hasif Upin.

Filem itu akan menjengah pawagam tempatan mulai esok.

Ditanya bagaimana Masayu memperoleh keberanian untuk menjalani penggambaran bersama beberapa ekor ular, pelakon berkenaan menjelaskan pada awal, dia memang takut untuk menghampiri apatah lagi memegang haiwan melata itu.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan “bersahabat” dengan ular adalah syarat utama untuk menjayakan watak Handini, Masayu berkata, dia perlu bersikap profesional dan mengetepikan perasaan takutnya itu.

Kata Masayu, ada babak yang menuntutnya untuk memberanikan diri dan masuk ke kolam berisi tujuh ekor ular di dalamnya.

“Mungkin sebelum penggambaran bermula saya sudah belajar membiasakan diri dengan ular sedikit demi sedikit, saya juga perlu bersahabat dengan ular, jadi tiada apa perlu ditakutkan lagi.

“Selepas beberapa babak membabitkan ular selesai misalnya, saya tidak boleh terus pulang, sebaliknya kena terus bermain dengan haiwan itu untuk belajar selesakan diri.

“Sewaktu babak di dalam kolam, ada tujuh ekor di situ dengan yang paling panjang berukuran 7 meter malah penggambaran pula dilakukan pada jam 1 pagi,” katanya menceritakan antara cabaran melakonkan watak Handini.