Skip to main
Logo Malaysiakini

Azharina dedah kini hidap kanser

Penyanyi Azharina Azhar mendedahkan dia didiagnos menghidap kanser dan sedang menunggu keputusan laporan perubatannya itu lagi dua minggu.

Atas alasan itu, katanya, dia masih belum dapat berkongsi jenis kanser yang dihidapi ketika ini.

“Saya sepatutnya menjalani pembedahan minggu depan tapi terpaksa tangguhkan kerana masih ada beberapa kerja perlu diselesaikan.

“Pembedahan terpaksa dilakukan atas nasihat doktor akibat masalah kesihatan kerana saya suka makan.

“Lagi satu pembedahan pula membabitkan kanser yang masih belum dikenal pasti,” katanya.

Menurut Azharina, 39, antara sebab lain dia memilih untuk menangguhkan pembedahan tersebut ialah kerana memerlukan masa yang lama untuk sembuh.

Justeru, katanya dia memerlukan masa yang cukup untuk membuat persediaan.

Azharina berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Realiti, iaitu nyanyian duet bersama Kozae (One Nation Emcees), di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.

Penyanyi itu muncul dengan lagu berkenaan selepas lama tidak hadir dengan buah tangan terbaru.

Realiti digubah oleh komposer Luca Sikcta dan Kozae sendiri.

Selain Luca dan Kozae yang turut bertindak selaku penulis lirik, mereka juga bekerjasama denga Trigga dan Pasha untuk karya tersebut.

Penyanyi itu pertama kali mendedahkan penyakit dihidapi ketika dia menjadi tetamu undangan untuk program No Filter bersama pengacara Elly Mazlein pada tahun lalu.

Menurut Azharina, dia mengalami pendarahan teruk sewaktu menyertai program All Stars Gegar Vaganza pada tahun sama.

Walaupun tidak mendedahkan secara khusus, namun doktor yang merawatnya ada menasihatkan agar dia menjalani pembedahan dan rawatan kimoterapi.

Pada sidang media sama hari ini, Azharina mendedahkan penyakit kencing manis yang dihidapi sejak dua tahun lalu menganggu aktiviti harian dan emosinya.

Namun katanya dia perlu sentiasa positif walaupun berdepan ujian berat.

“Saya manusia biasa, kalau sakit tentu kita akan menangis.

“Selain secara rohani, untuk tenangkan perasaan biasanya saya akan dengar lagu-lagu galau.

“Saya perlu selalu ingatkan diri agar positif demi anak-anak dan pekerja. Apa pun yang terjadi hidup tetap perlu diteruskan.

“Saya kena tempuh ujian ini walaupun perit dan menyakitkan,” katanya.