Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada sebab UM pilih Siti, kata Pak Nil

Pengacara popular Aznil Nawawi mempertahankan pelantikan penyanyi Siti Nurhaliza sebagai pakar Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCCed).

Kata Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil, ia disebabkan lantikan itu bukan atas kapasiti akademik mahupun tenaga pengajar di institusi berkenaan tetapi hanya sebagai ikon.

“Universiti Malaya ada bahagian swasta iaitu UMCCed, jadi mereka bersaing dengan universiti lain.

“Kemampuan mereka untuk mengambil Siti Nurhaliza adalah atas usaha untuk bersaing dengan universiti lain,” katanya pada sebuah program di stesen radio.

Aznil yang juga alumni Universiti Malaya menjelaskan, Siti Nurhaliza insan seni yang layak menerima pelantikan tersebut berdasarkan sumbangan dan pengalamannya hampir tiga dekad dalam dunia seni.

Justeru, katanya tidak wajar timbul kecaman mengenai tahap pembelajaran penyanyi itu yang dikatakan tidak tinggi.

“Orang ramai yang mengutuk kata sedangkan dia belajar tidak tinggi, kadang-kadang kita harus ingat bahawa dia tidak mengajar.

“Sekiranya dia mengajar mungkin tentang falsafah kehidupan, falsafah kemanusiaan kerana beliau aktif dalam aktiviti kemanusiaan.

“Dalam industri setelah lebih 10 atau 15 tahun bekerja boleh dikira pakar kerana dia tidak membuat kerja lain selain kerja itu saja,” katanya.

Terdahulu, muncul polemik di platform media sosial berhubung kelayakan Siti Nurhaliza selepas tular poster pelantikannya sebagai pakar di UMCCed.

Dalam poster berkenaan, tempoh pelantikan itu tertera selama dua tahun.

Malaysiakini semalam menyiarkan laporan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya (UM), Mohamad Saleeh Rahamad turut mempertahankan pelantikan Siti Nurhaliza itu.

Pada masa sama, Aznil juga menjelaskan mengenai perbezaan pelantikan dirinya sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM) tahun lalu.

“Saya dilantik sebagai profesor adjung dan dibenarkan mengajar bukan kerana saya popular, tapi pelantikan itu atas kelayakan akademik dan juga pengetahuan serta kelayakan kepakaran bergiat dalam industri lebih daripada 20 tahun,” katanya.