Skip to main
Logo Malaysiakini

Amir Ahnaf ada cara imbangi impak imej jahat Kahar

Percaya setiap naskhah membawa mesej positif diketengahkan, pelakon Amir Ahnaf justeru tidak bimbang sekiranya ada penonton cilik sedikit terbawa-bawa dengan watak dilakonkannya dalam filem Kahar Kapla High Council.

Amir yang menunjangi filem berkenaan berkata, dia juga sedia maklum sekiranya watak Kahar yang berimej jahat - diasaskan daripada drama bersiri Project: High Council sebelum ini - mengundang kritikan segelintir pihak kerana pengaruh negatif yang dibawa.

Menurutnya, sebagai pelakon, dia akan mencuba sehabis baik membawa pendekatan murni kepada peminat terutama generasi lebih muda sekiranya berjaya mendekati mereka.

“Ada beberapa kali saya bertembung dengan budak-budak yang lontar dialog 'Aku Kahar, Kapla High Council'.

"Kalau saya jumpa macam ini, selalunya saya panggil mereka, saya beri nasihat supaya jangan contohi Kahar. Saya beri nasihat macam abang dengan adik.

"Saya ingatkan mereka yang itu hanya lakonan semata-mata,” katanya.

Dari sudut karier, Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin mengakui dia cukup berbangga kerana watak Kahar itu jugalah yang berjaya membantu melonjakkan namanya sebagai pelakon baru.

Justeru, kata Amir, dia melihat pencapaian itu dari sudut positif sekiranya dirinya akan dibayangi dengan watak Kahar selepas ini.

“Sekurang-kurangnya di sepanjang karier saya, ada satu watak yang diingati orang. Tapi pada masa sama, ia juga beri tekanan sebab saya perlu lari daripada watak Kahar untuk tawaran naskhah berbeza.

“Apa pun, saya tidak kisah diberikan watak apa pun asalkan ia bersesuaian dengan saya. Sudah pasti saya nak jadi aktor versatil, boleh bawa apa saja watak dengan baik.

“Setakat ini, saya masih mengatur karakter apa yang sesuai dibawakan,” katanya.

Amir berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman filem Kapla High Council di Tropicana, Petaling Jaya baru-baru ini.

Untuk rekod, karya prekuel kepada Project: High Council itu diarahkan oleh Razaisyam Rashid walaupun karya asal diilham dan disempurnakan oleh sutradara Anwari Ashraf.

Bagaimanapun disebabkan kekangan komitmen penggambaran filem Keluang Man, Anwar menyerahkan tugasan itu kepada Raizaisyam yang juga sahabat baiknya.

Meskipun masih baru bertapak dalam industri, Amir yang juga produk Hero Remaja 2021 itu menolak untuk mencipta kontroversi murahan bagi melonjakkan namanya dalam masa singkat.

Katanya, dia sanggup mengambil masa yang lama untuk mengukuhkan nama walaupun ada pihak mencadangkan agar dia mencipta sensasi bagi tujuan itu.

“Saya sebenarnya jenis pemalu dan pendiam, atau senang kata, saya seorang introvert.

“Saya juga suka asingkan diri daripada bagi ‘makan’ pada semua, cuma tidak dinafikam kontroversi adalah pemasaran yang bagus untuk seseorang selebriti.

“Tapi kontroversi yang bagaimana? Kalau buruk, memang tidak bagus sebab saya percaya bahawa bakat, kerja keras, disiplin dan sikap baik boleh mengatasi kontroversi tidak kira buruk atau yang baik,” katanya.