Skip to main
Logo Malaysiakini

Nafi tagih sumbangan, Azlee anggap rakyat Malaysia memang prihatin

Pelakon dan pelawak Azlee Senario bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan orang ramai menghulurkan bantuan terutama kepada penggiat seni seperti dirinya ketika diuji dengan kesakitan baru-baru ini.

Justeru, katanya, tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan sumbangan ikhlas diberi pihak tertentu bertujuan meringankan sedikit beban yang ditanggung.

Bahkan Azlee menafikan dakwaan dia menagih sumbangan bagi melangsaikan bil mencecah RM40,000 selepas dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat serangan jantung pada Jun lalu.

“Saya langsung tidak ada hubungi perdana menteri, tapi tiba-tiba setpolnya (setiausaha politik) datang ziarah. Saya rasa mereka akan ziarah mana-mana artis sama ada yang sakit atau susah.

“Itulah kebaikannya kerana sudah ada peruntukan untuk itu. Rakyat Malaysia sebenarnya amat prihatin, kita bukan harap orang datang ziarah untuk beri sumbangan semata-mata.

“Jika mereka datang ziarah saja pun sudah memadai buat saya. Jadi, janganlah beranggapan begitu (persepsi negatif) kerana itu tandanya mereka hargai sebab pernah menghiburkan.

"Apabila tidak sombong, ramai yang datang kerana sayangkan kita,” katanya.

Pemilik nama penuh Muhammad Azlee Jaafar itu juga menjelaskan, mungkin banyak pihak sudah tersalah anggap dengan kenyataannya sebelum ini berhubung jumlah laba diraih hasil daripada bersiaran secara langsung di TikTok.

Anggap tak layak

Kata Azlee - yang kini berehat daripada membuat siaran langsung di TikTok sejak enam minggu lalu berikutan diserang sakit jantung - sumber pendapatan yang diraih tidaklah bertumpu pada platform berkenaan semata-mata.

“Yang beranggapan saya terlebih mampu itu, saya hanya beri kiasan kepada mereka yang suka DM (mesej langsung) meminta sumbangan RM5,000 ke RM7,000 daripada saya.

“Saya katakan, sekiranya mereka buat siarang langsung macam saya, mungkin mereka boleh berhasil jana pendapatan tinggi kerana ramai rakyat Malaysia boleh menyumbang termasuk saya sendiri, itu maksud saya.

“Tapi sebaliknya orang beranggapan gaji saya cecah RM15,000 sebulan. Tidak, bukan hari-hari saya bersiaran langsung di TikTok.

"Saya hanya bersiaran secara langsung apabila ada waktu terluang saja, kerana waktu lain saya ada persembahan serta jalani penggambaran,” katanya.

Azlee berkata demikian ketika ditemui pada malam tayangan khas Saka Perawan, filem terbaru lakonannya di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya malam tadi.

Dia sebelum ini dikejarkan ke IJN selepas mempunyai masalah darah tersumbat sebanyak 99 peratus serta prosedur pemasangan stent perlu dilakukan segera.

Kemudian, Azlee, 57, dilaporkan meminta untuk pulang gara-gara bil hospital yang semakin meningkat.

Susulan itu, banyak pihak tampil menghulurkan bantuan namun muncul pula dakwaan menyatakan pelawak itu tidak layak menerima sumbangan kerana dianggap mempunyai gaji bulanan yang tinggi sebagai penghibur.

Saka Perawan yang diarahkan Ahmad Idham berkisahkan sakit misteri nenek berusia 80 tahun yang membuatkan anaknya bingung. Setiap kali selepas Maghrib, keadaan nenek akan merosot hingga nazak.

Namun, sebaik saja jam 5 pagi, keadaan nenek kembali normal. Doktor juga tidak mempunyai jawapan untuk mengesan penyakit misteri dihidapi nenek itu.

Selepas seorang ustaz yang juga penduduk kampung pulang dari Universiti Al-Azhar merawat nenek itu, dia mengesan penyakit misteri dialami mempunyai kaitan dengan saka.

Justeru, ustaz itu menasihatkan agar si nenek menurunkan saka-sakanya kepada cucu perempuan yang masih perawan sebelum dia meninggal dunia.

Naskhah komedi seram yang turut dibarisi Fauziah Nawi, Afieq Shazwan, Wilma Muhammad, dan Sophia Albarakbah itu ditayangkan di pawagam tempatan seluruh negara bermula hari ini.

Berkenaan kos hospital mencecah RM40,000, Azlee yang semakin pulih memberitahu, antara kaedah dia melangsaikan jumlah itu menggunakan wang simpanan sendiri kerana tidak layak untuk mengambil insurans.

“Saya ada sejarah keluar masuk hospital sebelum ini, saya menghidap penyakit hati, hempedu dan darah tinggi, jadi memang saya tidak boleh ambil insurans.

“Jadi, apabila orang beri sumbangan takkan saya nak tolak. Sebab itu saya nasihatkan kepada rakan-rakan industri supaya ambillah insurans dari awal,” katanya.