Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu Virgoun ucap terima kasih polis cekup anak guna dadah

Ibu komposer dan penyanyi Indonesia Virgoun, Eva Manurung berterima kasih kepada pihak polis kerana menahan anaknya yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Eva yang juga seorang penyanyi berkata, sekiranya Virgoun tidak ditangkap, dia khuatir degan keselamatan anaknya yang berisiko akan lebih ‘hanyut’ jika mengambil dadah berlebihan.

“Aku ucap terima kasih kerana sudah menangkap anak saya. Kalau tidak ditangkap, anak saya mungkin OD (overdose) dan mati di luar sana,” katanya.

Eva turut memberi respons berhubung permohonan maaf yang dibuat anaknya selepas dicekup pada 20 Jun lalu.

Wanita itu mengakui dia gagal menjadi seorang ibu seperti yang diharapkan Virgoun.

“Aku juga katakan padanya, maafkan mami. Mami membesarkan kamu, tapi mami tidak seperti diharapkan kamu.

“Mami minta maaf, kita sama-sama berubah ya nak,” kata penyanyi Doa Untukmu itu dipetik media tempatan.

Eva Manurung

Eva, 61, berkata dia malah sering teringat sikap Virgoun sebelum ini yang selalu prihatin terhadap keluarga.

namun, menurutnya, saat ini Virgoun, 37, sudah melangkah terlalu jauh hingga tidak peduli dengan keluarga gara-gara ingin bebas.

“Mami mahukan Virgoun yang sama seperti dulu, yang masih mengharapkan orang tua. Kamu sudah terlalu jauh melangkah, kamu lepaskan semua keluarga kerana mahu bebas,” katanya.

Virgoun yang terkenal dengan lagu Surat Cinta Untuk Starla itu ditahan pihak berkuasa Indonesia bersama seorang wanita di sebuah rumah di Ampera, Jakarta Selatan sekitar jam satu pagi.

Ketika serbuan, polis turut merampas dadah jenis syabu selain alat untuk menghisapnya.

Sebelum itu, kisah rumah tangga Virgoun dan bekas isterinya, Inara Rusli sering meraih perhatian umum selepas wanita itu mendedahkan sikap buruk penyanyi berkenaan di media sosial. Inara mendakwa Virgoun kaki perempuan dan pernah beberapa kali curang.

Virgoun dan Inara yang bernikah pada 2014 sah bercerai selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Starla Rhea Idola Virgoun, Faithlee As-Sya'ir Virgoun dan Terang Sharique Virgoun.

Nombor disekat

Dalam pada itu, Eva memberitahu dia seolah-olah mendapat firasat berhubung nasib Virgoun sebelum penangkapan anaknya.

Katanya, dia sempat mendengar lagu anaknya dan teringat sewaktu dia masih kecil. Namun, tiba-tiba dia berasa pilu hingga mengalami kesesakan nafas tanpa sebab.

“Aku berasa pilu, marah dan sesak nafas seperti orang yang baru habis menangis. Keesokannya aku dapat berita itu (Virgoun ditangkap),” katanya.

Menurut Eva, dia dan Virgoun sudah lama tidak berkomunikasi kerana hubungan mereka yang kurang baik.

“Nombor aku disekat kira-kira sudah dua bulan,” katanya lagi.