Skip to main
Logo Malaysiakini

Libatkan penggiat pelbagai genre hasilkan lagu patriotik - MP

Seorang ahli parlimen kerajaan, Syerleena Abdul Rashid, menyarankan pihak kerajaan agar melibatkan semua pengkarya seni lagu tempatan untuk menghasilkan lagu patriotik yang diterima ramai.

Katanya, dengan cara itu kerajaan mendapat maklumat yang mencukupi dalam menghasilkan sebuah lagu - dalam konteks semasa, mempromosikan dasar Malaysia Madani - dan mengelak daripada menerima kritikan.

“Kita mempunyai ramai pengkarya berbakat yang mampu memberikan perspektif unik dan relevan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Bukit Bendera itu, penghasilan lagu Malaysia Madani yang disampaikan kumpulan Bunkface sebenarnya suatu langkah yang baik daripada pihak kerajaan.

Pada masa sama dia berpendapat penglibatan lebih ramai pengkarya dari pelbagai genre mungkin boleh menambah baik lagu tersebut agar tidak hanya diterima sekelompok pendengar.

Syerleena berkata demikian sebagai respon kepada laporan Malaysiakini pada 26 Jun lalu mengenai kegusaran beberapa ahli akademik terhadap langkah kerajaan menggunakan lagu sebagai bahan propaganda.

Misalnya pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Sahul Hamid Mohamed Maiddin, yang memberikan cadangan bahawa lagu patriotik bersifat marching (pancaragam) dan dinyanyikan oleh suara jantan harus dikembalikan.

Katanya sehingga kini lagu-lagu propaganda yang dihasilkan oleh kerajaan perpaduan bagi menjelaskan agenda nasional mereka, Malaysia Madani, nyanyian Bunkface belum mampu berbekas di hati rakyat.

Asalnya bekas ahli parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, menegur Putrajaya kerana tidak memanfaatkan seni lagu untuk menyebarluaskan mesej kerajaan, dan pada masa sama menyanggah propaganda pembangkang.

Masih relevan hingga kini

Mengulas lanjut Syerleena juga menyatakan rasa kurang bersetuju terhadap cadangan ahli akademik agar penyanyi bersuara 'jantan' digunakan bagi menyampaikan lagu patriotik kerana menganggap ia bersifat seksis.

“Cadangan itu jelas bercanggah dengan dasar inklusiviti Madani yang kita promosikan.

“Tambahan pula, cadangan untuk menggunakan suara 'jantan' dilihat seolah-olah bersifat misoginis dan seksis.

“Ia seperti merendahkan suara feminin yang juga sedap dan saling melengkapi nada maskulin,” katanya.

Dia turut menegaskan bahawa semangat patriotsme yang dipupuk seharusnya bersifat inklusif dan mewujudkan rasa kebersamaan dengan diambil kira aspek kekayaan budaya dan sosiologi negara ini serta mampu berbicara dengan hati rakyat

“Sebaliknya, ekspresi artistik yang diinspirasikan oleh budaya dan dirangka dengan teliti boleh memupuk kebanggaan nasional yang lebih mendalam dan berkekalan, sekali gus meraikan kekayaan dan kepelbagaian sesebuah negara serta rakyatnya,” katanya.

Menurut Syerleena pendekatan itu jauh lebih menarik daripada bergantung kepada simbol atau kaedah tradisional yang mungkin tidak ‘lekat’ pada jiwa mereka.

Dia turut memberikan contoh lagu-lagu patriotik klasik yang diterima secara meluas seperti Setia dan Sejahtera Malaysia yang dianggap masih relevan untuk dihayati sehingga kini.