Skip to main
Logo Malaysiakini

Altimet rayu kerajaan berdiri teguh lawan cetak rompak digital

Penyanyi rap dan komposer terkenal, Altimet merayu agar kerajaan lebih tegas membanteras isu cetak rompak digital yang saban hari semakin ganas merosakkan industri kreatif tanah air.

Menggunakan filem dengan kutipan tertinggi di Malaysia bagi tahun 2024, Sheriff: Narko Integriti yang meraih RM64 juta sebagai contoh, Altimet berkata, isu cetak rompak digital kini telah menjadi satu epidemik.

Menurutnya, kejayaan Sheriff: Narko Integriti dibelenggu oleh satu realiti yang membimbangkan terutama apabila sejumlah besar babak dalam filem itu sedang ditonton bukannya di panggung wayang atau perkhidmatan TV yang sah, tetapi di laman-laman penstriman haram yang merompak pelaburan para pencipta kandungan secara langsung.

“Saya difahamkan bahawa meskipun Astro telah berusaha keras untuk membanteras jenayah ini dengan menutup 30 kumpulan Telegram yang mempunyai lebih 200,000 pelanggan, pencurian Sheriff: Narko Integriti masih berterusan, seolah-olah ia tidak dapat dibendung lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, menurut Altimet yang juga Adun Lembah Jaya itu, bukan Astro saja yang mengalami masalah terbabit, isu sama turut dialami negara lain seperti Singapura yang bekerja keras melawan cetak rompak digital melalui siaran Singapore Premier League pada 2024.

Katanya, Singapura berjaya mendapat perintah Mahkamah Tinggi untuk memberi kebenaran kepada syarikat perkhidmatan Internet menghalang capaian terhadap 25 laman web penstriman haram paling popular di negara terbabit.

Tambah Altimet, 45, Indonesia turut mengambil tindakan tegas dengan isu berkenaan apabila kerajaan mereka bekerjasama dengan platform kandungan bagi mengambil langkah tuntas dalam memerangi cetak rompak digital melalui Telegram.

Katanya, komitmen teguh Indonesia dalam memerangi jenayah terbabit terserlah dengan penangkapan beberapa individu yang menjadi dalang kepada pengedaran kandungan secara haram serta penghapusan kandungan cetak rompak digital dari platform media sosial.

“Kerajaan Indonesia tidak teragak-agak untuk memberi amaran keras terhadap Telegram. Jika ia gagal mengambil tindakan terhadap jenayah dalam talian, menerusi perkhidmatannya, maka Telegram akan dihalang untuk beroperasi di Indonesia.

“Malah, pada 25 Mei 2023, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun gara-gara cetak rompak digital. Individu terbabit didapati bersalah dalam mencuri kandungan tempatan dan antarabangsa, termasuk sukan langsung, dari OTT Indonesia, Vidio, sejak 2019,” katanya.

Menurut penyanyi Amboi itu, pendekatan tegas serta hukuman berat dikenakan menunjukkan dedikasi tinggi kerajaan Indonesia untuk melindungi industri kreatif mereka demi memastikan pencipta kandungan diberi ganjaran yang adil, setimpal dengan usaha dilaksanakan.

Katanya, Filipina juga sedang mengambil langkah berani untuk mengemaskini Kod Harta Intelek mereka di samping memperkenalkan langkah-langkah penyekatan laman web yang lebih berkesan.

Menurut Altimet, pendekatan proaktif Senat mereka yang turut disokong oleh pemain industri, menekankan komitmen nasional untuk melindungi hak pencipta kandungan.

“Cadangan undang-undang seperti rang undang-undang Senat 2150 dan rang undang-undang Senat 2385 di Filipina bertujuan untuk menyekat akses ke laman web yang mempromosikan pelanggaran hak cipta dan memperluaskan kuasa Pejabat Harta Intelek Filipina untuk memulakan langkah penyekatan laman web.

“Usaha itu mencerminkan pemahaman yang mendalam tentang kepentingan hak harta intelek dan keperluan untuk memodenkan undang-undang bagi memerangi ancaman cetak rompak digital yang semakin berkembang,” katanya.

Menurut Altimet, jenayah cetak rompak digital tetap berleluasa meskipun dengan pindaan terhadap Undang-Undang Hak Cipta pada 2021 negara ini membabitkan penggubalan Seksyen 43AA (yang menjadikan penggunaan teknologi penstriman dalam kes pelanggaran hak cipta sebagai satu jenayah).

Katanya, pindaan terbabit adalah susulan daripada keputusan Mahkamah Hak Cipta Kuala Lumpur pada Mei 2021, yang mengisytiharkan bahawa penjualan, penawaran, atau pengedaran kotak TV atau peranti penstriman yang membolehkan capaian tidak sah kepada kandungan berhak cipta adalah satu pelanggaran hak cipta.

“Meskipun dengan adanya rangka kerja undang-undang ini, penguatkuasaan terhadap jenayah ini kelihatan longgar.

“Potensi perundangan ini mesti dizahirkan sepenuhnya bagi memastikan industri kreatif kita dapat berkembang tanpa terus diancam oleh jenayah cetak rompak digital.

“Status quo ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mengancam beribu mata pencarian. Golongan profesional yang menghidupkan industri kreatif yang turut mencungkil bakat terpendam tanah air, wajar mendapat perlindungan yang lebih baik,” katanya.

Menurut Altimet, kesan cetak rompak digital adalah meluas dan ia menjejaskan bukan saja pengarah filem, tetapi juga pelakon, kru, dan semua yang terlibat dalam seluruh ekosistem pengeluaran dan pengedaran kandungan.

Justeru, katanya, apabila filem seperti Sheriff: Narko Integriti dicetak rompak, ia menjejaskan keseluruhan rantaian nilai, mengurangkan pendapatan, membantutkan minat pelabur untuk menyokong projek-projek akan datang, sekali gus mengehadkan peluang untuk bakat kreatif berkembang.

“Cetak rompak digital juga mempunyai implikasi ekonomi yang lebih luas. Ia menghalang pertumbuhan industri yang merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara kita.

“Sektor kreatif mencipta pekerjaan, mendorong inovasi, dan meningkatkan jejak budaya kita di peringkat global.

“Setiap wang ringgit yang hilang kepada cetak rompak digital adalah wang ringgit yang boleh dilaburkan semula dalam produksi baru, pengukuhan pemasaran, atau mempelopori kemajuan teknologi dalam industri.

“Jadi sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap cetak rompak digital dan melaksanakan langkah-langkah yang ketat serta memastikan penguatkuasaan yang lebih kukuh,” katanya.

Menurutnya, kerajaan wajar mengikuti contoh ditunjukkan Indonesia dan Filipina bagi mewujudkan persekitaran selamat untuk industri kreatif.

Bahkan katanya, setakat merayakan kejayaan saja tidak mencukupi sebaliknya kerajaan harus turut melindungi dan memastikan kelestarian kejayaan karya tempatan.

“Masa depan industri kreatif Malaysia bergantung kepada tindakan tegas dan segera. Saya menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan langkah-langkah yang serupa dengan negara jiran kita, seperti penguatkuasaan yang lebih kuat terhadap undang-undang sedia ada, peningkatan penalti bagi pesalah, dan kerjasama dengan syarikat platform kandungan untuk mengenal pasti dan menutup operasi cetak rompak digital.

“Saya yakin, gergasi industri tanah air seperti Astro dan Media Prima serta syarikat produksi tempatan seperti Skop Production, Primeworks Studios dan Act2 Pictures, yang sudah melabur jumlah wang ringgit yang besar untuk menangani isu ini, akan menyambut baik tindakan tersebut.

“Tolonglah perjuangkan isu ini. Tolonglah berdiri teguh melawan cetak rompak digital dan lindungi integriti demi masa depan kreativiti Malaysia.

“Industri kreatif kita bukan saja perlu bertahan tetapi juga berkembang supaya ia dapat menyumbang kepada ekonomi, malah, memperkayakan warisan budaya kita,” katanya.