Skip to main
Logo Malaysiakini

Thailand tingkat kawalan keselamatan Yaowarat gara-gara Lisa Blackpink

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) dan Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand giat meningkatkan tahap keselamatan dan infrastruktur di Yaowarat, Chinatown Bangkok susulan lonjakan pelawat ke kota raya itu.

Jabatan Perhubungan Awam (PRD), Thailand dalam satu kenyataan berkata, peningkatan itu sebahagian besarnya dikaitkan dengan populariti video muzik berjudul Rockstar oleh bintang K-pop berdarah Thailand iaitu Lalisa Manoban atau Lisa Blackpink.

“Sejak lagu itu dilancarkan pada 27 Jun lalu, sedutan video yang memaparkan imej dari Yaowarat telah mengumpul 38 juta tontonan sekali gus menarik perhatian pelancong secara global ke kawasan itu.

“Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt baru-baru ini mengetuai lawatan pemeriksaan ke Chinatown untuk menilai dan menambah baik kesediaan lokaliti itu untuk peningkatan jumlah pelancong.

“Pendekatan diambil termasuk meletakkan penghadang lalu lintas sepanjang jalan Yaowarat bagi meningkatkan keselamatan pejalan kaki dan menambah pengelolaan sisa sampah dengan pembersihan jalan serta tambahan tong sampah.

“Usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas juga sedang dilakukan dengan menyasar pemandu tuk-tuk dan pemandu teksi yang mengganggu arus atau mengenakan bayaran berlebih kepada pengunjung,” katanya.

BMA juga merancang untuk mengubah Yaowarat kepada zon mesra pejalan kaki pada hari-hari tertentu, memasang lebih banyak penunjuk arah untuk pejalan kaki serta memastikan kemudahan tandas awam yang mencukupi sebagai kerjasama dengan perniagaan tempatan.

Menteri Pelancongan dan Sukan, Sermsak Pongpanich baru-baru ini melawat kawasan itu dan mengesyorkan kerjasama awam- swasta untuk memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) serta memperbaiki laluan pejalan kaki.

“Pemilik perniagaan tempatan dan vendor di Yaowarat optimis bahawa kebanjiran pelancong didorong oleh video muzik tular, ini akan terus menarik pelancong dan merangsang ekonomi tempatan,” katanya.

Lagu Rockstar berjaya melepasi dua juga tontonan dalam tempoh sejam selepas ia dilancarkan secara rasmi. Ia adalah single pertama yang diterbitkan syarikat pengurusan milik Lisa, LLOUD Co dengan kerjasama RCA Records.

Lisa pertama kali memperkenalkan sedutan lagu barunya itu pada awal bulan lalu di media sosial melalui hantaran di akaun TikTok peribadi dan ia sekali gus memecahkan rekod dunia Guinness apabila meraih 1 juta pengikut dalam tempoh 2 jam dan 18 minit.

Selain kejayaannya dengan Blackpink, Lisa berjaya memecahkan beberapa rekod dunia sebagai seorang artis solo saat lagunya Lalisa dan Money memasuki carta top 10 Billboard Global 200.

Money pula memegang rekod sebagai lagu yang paling lama bertahan di carta lagu Billboard Hot 100 oleh seorang artis solo perempuan K-pop di AS dan di carta lagu singles di United Kingdom.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Lisa kerana memilih untuk menjalankan penggambaran Rockstar di Yaowarat.

Srettha berkata, video itu berjaya menyumbang kepada pertambahan pengunjung di kawasan tersebut.

Perdana Menteri itu turut mengucapkan tahniah kepada Lisa kerana tidak pernah melupakan asal usulnya walaupun dia bintang terkenal dunia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lisa kerana mengingati tanah airnya. Yaowarat kini didatangi pelancong yang ramai, rata-rata dari China,” katanya.