Skip to main
Logo Malaysiakini

Afdlin: Pengarah bukan bebal, cuma sangka diri sendiri kebal

Menyedari tahap kesedaran kesihatan jantung masih rendah, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggesa ahli-ahlinya mengambil masa menjaga diri sendiri berbanding terlalu fokus bekerja.

Pengerusi FDAM, Afdlin Shauki, berkata mereka yang bergelar pengarah pada kebiasaannya selalu memaksa diri bekerja sehingga ke tahap maksimum.

Hal itu, menurutnya, mengakibatkan penggiat seni sering menjadi leka dengan rutin dan perbuatan lazim hingga tidak peka dengan simptom yang menjadi punca serangan jantung - kematian nombor satu di Malaysia.

“Saya akui kesedaran mengenai kesihatan jantung dalam kalangan ahli-ahli FDAM agak rendah kerana bukan kita bebal tapi kita ingat diri kebal.

“Kita bekerja tidak mengikut 'jam' yang ditetapkan badan kita, selalu paksa diri ke tahap maksimum. Saya kenal kawan-kawan saya kerana perangai saya pun sama.

“Saya merokok dan mengambil kafein terlalu banyak. Semuanya tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Jadi, masa untuk semua ini berubah,” katanya.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Wilayah Persekutuan itu turut mengingatkan, penyakit jantung juga adalah penyebab kepada kematian Seniman Agung Allahyarham P Ramlee.

Justeru, katanya, hanya dengan mementingkan kesihatan, barulah mereka boleh kekal lestari dengan karya-karya yang dihasilkan.

“Buat mereka yang masih ingat, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Jadi, kita harus selari dengan karya dan pada masa sama jagalah kesihatan terutama pengerak kehidupan iaitu jantung,” katanya melalui kenyataan media yang dibuat sempena pelancaran Hari Karya Lestari FDAM 2024.

Acara dengan kerjasama Institut Jantung Negara itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kesihatan jantung terhadap penggiat seni.

Program berlangsung seharian itu dihadiri 100 ahli FDAM dan turut menggabungkan elemen riadah, acara berjalan santai dan pendedahan simptom penyakit jantung.

Mereka yang mengambil bahagian pada program itu turut berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan jantung secara percuma.

Afdlin berkata, FDAM turut menyasarkan untuk mengusahakan acara seumpama itu pada masa akan datang dan terbuka untuk keseluruhan industri kreatif.

Menurutnya, edisi pertama dikhaskan kepada ahli-ahli FDAM dengan harapan aktiviti itu dapat mengurangkan masalah kesihatan kritikal dalam kalangan pengarah filem.

“Namun, menjadi harapan kami di FDAM agar usaha ini diteladani dan bakal dilakukan persatuan lain.

“FDAM mengalukan rakan-rakan kami dari persatuan-persatuan seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan banyak lagi untuk bertemu kami mengadakan kerjasama untuk penganjuran yang sama,” katanya.