Skip to main
Logo Malaysiakini

Sebar maklumat dalaman polis: Pelawak, isteri direman dua hari

Seorang pelawak dan isterinya ditahan polis untuk disiasat atas dakwaan menyebar maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor.

Difahamkan, pasangan terbabit - yang masing-masing berusia 37 dan 38 tahun - ditahan pihak berkuasa sewaktu hadir memberi keterangan di Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam kira-kira jam 7 petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan dua individu terbabit.

Polis turut merampas telefon genggam mereka untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian melaporkan, kedua-dua individu berkenaan direman dua hari selepas dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum itu, tular di aplikasi Telegram gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Sahabudin Abd Manan, di IPD Shah Alam.