Skip to main
Logo Malaysiakini

Ben Amir terap inspirasi lakonan dari negara luar

Pelakon Ben Amir menggunakan peluang menghayati dan mengenali budaya baru ketika dia mengembara ke negeri asing sebagai rujukan untuk menjayakan mana-mana karakter yang diberikan.

Katanya, pengalaman sepanjang tempoh bercuti itu bukan digunakan semata-mata untuk merehatkan badan tetapi kesempatan diambil untuk dia memahami gaya hidup orang lain yang jauh berbeza dari di Malaysia.

“Saya selalu memerhati cara mereka bercakap, bergerak, berjalan malah bergaul, dan apabila dapat tawaran sesuatu watak, saya akan cuba sesuaikan karakter itu dalam lakonan.

“Sebagai seorang pelakon, saya rasa pengembaraan atau percutian itu penting kerana boleh beri inspirasi lebih kepada kita,” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Muhammad Amir Sabaruddin itu, sesuatu perjalanan yang diambil tidak akan dirancang sebaliknya berlaku secara spontan.

Justeru, kata Amir, 34, sebagai penggemar cabaran, dia akan memilih aktiviti pengembaraan yang boleh memberi keseronokan.

“Saya suka percutian solo atau backpack sebab ia bawa cabaran tersendiri dari segi perjalanan.

“Pernah juga ada pengalaman ditipu, tapi apabila selalu mengembara, kita akan mula belajar kenal pasti seseorang itu mahu tipu atau tidak,” katanya.

Ben ditemui pada majlis pelancaran drama Bawah Payung Awan untuk siaran penstriman Viu di Tropicana Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pelakon filem Rebel: Berontak Untuk Berotak itu juga berkongsi perancangannya untuk trip mencabar bakal dilakukan tidak lama lagi iaitu mendaki Everest Base Camp (EBC).

Kata Ben, aktiviti itu pun memang dirancang secara spontan malah dia teruja kerana akan merakamkan misi pendakian dari awal hingga selesai.

“Saya tiba-tiba rasa nak daki EBC. Ia berlaku pada satu hari sebaik bangun tidur. Saya kemudian terus buat pencarian dan segera tempah tiket kapal terbang. Saya akan buat pendakian bulan ini.

“Saya akan daki bersama dengan beberapa rakan. Pada masa sama, saya buat vlog. Ini akan jadi trip paling mencabar buat saya setakat ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam drama Bawah Payung Awan, Ben berkata, dia membawa watak anak setinggan bernama Soleiman yang dianggapnya begitu mencabar.

Hal itu katanya, kerana penggambaran tersebut juga dijalankan di kawasan setinggan.

“Penggambaran sebelum ini biasanya dilakukan di pejabat atau rumah mewah. Kali ini, produksi bawa kami masuk setinggan.

“Jadi, saya gunakan peluang untuk berbual dan bergaul dengan penduduk di situ,” katanya.