Skip to main
Logo Malaysiakini

Don Daniyal berlapang dada terima keputusan Jais

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Pendakwah terkenal, Don Daniyal Don Biyajid berlapang dada menerima keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tidak muncul dalam Don't Give Up, slot Morning-Morning Suria, di Suria FM mulai hari ini.

Don Daniyal berkata pihaknya juga sedia maklum bahawa stesen radio berkenaan cuma bertindak di atas arahan yang diberikan.

“Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik.

“Pada pihak kami, semuanya dan stesen radio baik-baik sahaja. Stesen radio menurut arahan dan kita hormat.

“Mereka tunggu keputusan (rasmi) JAIS dan kita pun sama,” katanya dipetik BH Online.

Jais melalui satu kenyataan dikeluarkan pada 21 Jun lalu mengarahkan semua agensi, masjid, surau dan musolla menangguhkan atau tidak mengundang penceramah itu untuk mengajar agama Islam di premis masing-masing.

Ketetapan dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Don Daniyal disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Wakil pengurusan stesen berkenaan kemudian menjelaskan Don Daniyal tidak akan muncul dalam segmen berkenaan hingga mendapat kepastian Jais.

Pada 14 Jun lalu, Don Daniyal diberhentikan terus daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia selepas membuat dakwaan yang diragui mengenai kelebihan memandang ulama.

Sebelum itu, pendakwah terbabit menyambung tugasnya seminggu selepas dia direhatkan daripada bersiaran gara-gara memberikan jawapan mengelirukan dan membawa kisah yang didakwa tidak diperakui kesahihan dalam agama.

Antaranya, dia mendakwa Rasulullah pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan wanita berkenaan merupakan 'cinta pertama' baginda.