Skip to main
Logo Malaysiakini

Watie mohon maaf jika ada terasa perlekeh Orang Asli

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib, Watie Hanifiah tampil memohon maaf susulan dikatakan mempersenda Orang Asli dalam satu rakaman klip video di media sosial miliknya.

Watie yang juga usahawan itu berkata dia sememangnya langsung tidak berniat untuk memperlekehkan mana-mana pihak berhubung gurauannya dengan anak tiri, Uwais Alqarni.

“Mummy (panggilan dirinya) dapat banyak teguran berkenaan video Uwais itu sebab mummy sebut macam Orang Asli.

“Sejujurnya tidak ada langsung niat saya nak menghina mahupun memperlekehkan.

“Maaf kalau ada yang terasa,” katanya.

Menurut Watie, 36, kata-kata yang keluar daripada mulutnya hanya kebetulan kerana persamaan terdapat pada imej digayakan Uwais Alqarni ketika itu.

Tambahnya, lebih menguatkan persamaan itu apabila Uwais juga tampil dirakam tidak berbaju.

“Cumanya dalam video itu Uwais tidak berbaju. Sebab itu mummy samakan dia seperti dalam gambaran orang dulu kala,” katanya.

Dalam Insta Story Watie, Uwais dilihat muncul tidak berbaju sebaliknya hanya memakai tuala mandi beserta aksesori di tubuh badan dan kepala.

Watie yang menyaksikan Uwais, 13, sambil merakam kemudian menyamakan remaja itu dengan Orang Asli.

Susulan itu, ramai yang menghantar mesej pesanan peribadi (DM) menegur tindakannnya itu.

Watie juga yakin pengikutnya juga pasti mengenali atau sedia maklum mengenai sikapnya selama ini.

Katanya, selama ini dia sering menjaga batas dalam berkomunikasi terutama depan khalayak.

“Mummy rasa pengikut pun tahu selama ini mummy sangat menjaga tutur bahasa.

“Walaupun ada yang kecam sebelum ini, saya tidak pernah marah atau balas.

“Insya-Allah mummy tahu niat mummy dalam berbahasa,” katanya.