Skip to main
Logo Malaysiakini

Shuib 'kasihan' pada pembuli siber sebab cuma gah di media sosial

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Pelawak dan usahawan, Shuib, menyelar kegiatan buli siber yang dilihatnya semakin parah dalam kalangan masyarakat sehingga seorang pempengaruh TikTok menamatkan riwayat sendiri pada 5 Julai lalu akibat tekanan perasaan.

Shuib berkata, budaya negatif yang membawa pelbagai kesan kepada pengguna Internet tidak sepatutnya menjadi ikutan, justeru penggunaan media sosial yang berhemah wajar dilestarikan.

“Ini sedikit nasihat dan teguran, buli siber adalah serius. Biasa kita dengar isu-isu babitkan bunuh diri kerana buli siber hanya berlaku di negara luar misalnya AS dan Korea.

“Sekarang ia kian menular di Malaysia. Jangan normalisasikan buli siber, kalau mereka yang kena (buli) itu boleh hadap tidak apa, tapi ini sampai jadi kes bunuh diri.

“Jadi tolong hentikan buli siber, ini bukan budaya kita. Kita wajar fikirkan apa impak kepada keluarga mangsa," katanya.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad bahkan mengakui dia antara individu yang saban hari terpaksa berdepan serangan buli di platform media sosial.

Katanya, situasi sama turut dialami oleh arwah isterinya, Siti Sarah Raisuddin.

“Saya orang yang selalu dibantai di media sosial. Cerita pasal perniagaan sampai jejaskan kehidupan peribadi. Ini tidak sihat.

"Akibatnya, saya sendiri alami tekanan perasaan.

“Saya tak faham mengapa ada individu gemar sangat menaip, tinggalkan komen: 'masa untuk makan popcorn' atau 'saya like tanda hadir'.

"Ini semua jenis suka mengapi-apikan situasi dan ajak orang lain semua berkampung di ruangan itu.

“Kalau tersalah cakap kita minta maaf, tapi permohonan maaf itu ibarat tiada makna, kita akan tetap dibuli. Kes buli siber juga pernah cetuskan anxiety (risau melampau) arwah Sarah, dia jadi amat tertekan,” katanya.

Apa dapat daripada membuli

Shuib berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Dol’s Podcast di sebuah restoran di Petaling Jaya semalam.

Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil mengesahkan pempengaruh TikTok, Rajeswary Appahu mati bunuh selepas dibuli siber beberapa minggu sebelum itu. Selain komen jelik, mendiang turut didakwa menerima fitnah daripada beberapa individu.

Fahmi yang turut menghadiri upacara pengebumian mendiang berkata, isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan pada mesyuarat kabinet pada 12 Julai ini bagi mencari penyelesaian terbaik, meliputi aspek perundangan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, pembentangan itu diminta sendiri oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Shuib, 39, berkata individu yang gemar melakukan buli siber hanya nampak gah di platform media sosial namun semuanya kecut perut jika dibawa ke muka pengadilan.

“Inilah permainan media sosial, nampak gah hanya pada penulisan, kaulah terpaling hebat, duduk dalam seluar (mangsa buli).

“Tapi apabila dibawa berdepan mahkamah, mereka jadi takut dan tundukkan muka tanda penuh penyesalan.

“Masa itu, kau hanya minta maaf dalam mahkamah, saya dah lalui ini semua.

"Mereka itu tidak sepatutnya berbuat demikian, dia mungkin juga seorang yang baik, tapi ini semua akhirnya dapat apa?” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dengan Dol’s Podcast, Shuib berkata, dia sudah lama memasang hasrat untuk kembali ke udara bersama dua sahabatnya, Shuk Sahar dan Fizie - yang pernah mengendalikan segmen Geng Pagi Hot di Hot FM pada 2019.

Katanya, impian itu akhirnya terlaksana melalui Dol’s Podcast.

“Saya tidak aktif di televisyen lagi, jadi kadangkala timbul kerinduan tu. Apabila asyik fokus perniagaan, ia timbulkan tekanan juga.

“Jadi, saya fikir kalau seminggu sekali dapat berjumpa Shuk dan Fizie, dengan isu-isu yang mencuit industri apa salahnya, tapi dibuat berkonsepkan podcast.

“Waktu di konti radio dulu, kami selalu buat aktiviti luar bersama. Jadi saya tahu ada keserasian,” katanya.