Skip to main
Logo Malaysiakini

Da'i Syed syukur rezeki makin luas walau turun naik mahkamah

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Menghitung hari untuk menjadi bapa beberapa minggu lagi, pendakwah selebriti Dai Syed bersyukur kerana berasa rezekinya semakin luas melalui perniagaan diusahakan.

Kata Syed, meskipun lelah turun naik mahkamah menjalani perbicaraan kes rogol melibatkan seorang wanita di sebuah kondominium lima tahun lalu, dia tetap bersyukur kerana ada berita gembira bakal menanti dia dan isterinya, Hana Ismail.

“Kalau ikutkan saya penat dan letih. Tapi itulah qada dan qadar Allah beri pada saya. Ini semua adalah ujian-Nya, jadi saya teruskan hidup macam biasa.

“Isteri pun sedang sarat mengandung. Kami bakal timang cahaya mata yang pertama mungkin beberapa minggu lagi,” katanya.

Menurut Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, rezeki mereka semakin bertambah sejak mengetahui Hana hamil.

Katanya, ketika itu dia dan Hana, 38, yang juga pengacara televisyen meraikan ulang tahun perkahwinan mereka di Mesir.

“Sedar (rezeki) ia berlaku awal Jan lalu, semasa itu Hana baru ‘lekat’ (hamil). Sebaik saya tahu dia hamil, rezeki… masya-Allah. Sebelum itu Hana keguguran.

“Mungkin rezeki kami bertambah sebab anak. Misalnya, perniagaan berasaskan batu kristal dijalankan Hana semakin bagus manakala saya sibuk sebagai ejen pelancongan,” katanya.

Anggap dah lakukan yang terbaik

Syed berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dajal (Satu malam diPedajal) di Wisma Metrowealth International, Petaling Jaya semalam.

Filem genre seram thriller diarahkan Pierre Andre itu bakal memulakan penggambaran pada 16 Julai ini di Bukit Fraser, Pahang.

Selain Syed yang membawakan watak ustaz, filem itu turut dijayakan Mir Nafis, Khatijah Tan, Jaja Iliyes dan Jay Iswazir.

Bagaimanapun setakat ini Syed, 29, belum bersedia berkongsi maklumat lanjut termasuk jantina anak sulungnya itu.

Untuk rekod, pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Pada 10 Dis 2020, Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 Shah Alam, kira-kira jam 1.35 malam, pada 11 Sept 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

Diminta mengulas mengenai penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkannya membela diri atas pertuduhan merogol, Syed berkata, dia berbuat demikian kerana berasakan ia tidak lagi kompeten untuk diteruskan.

“Memang saya menarik rayuan itu kerana saya sudah lakukan pembelaan. Pada asalnya, saya mahu membuat rayuan, tapi prosidingnya pada Julai.

“Jadi, apabila saya dah bela diri pada Jun, maka ia (proses rayuan) sudah tidak kompeten. Jadi, saya ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya dan menarik balik rayuan itu,” katanya.

Menurut Syed, keputusan kes berkenaan dijangka diketahui pada Ogos depan.

“Apa pun, saya sudah melakukan yang terbaik untuk pembelaan saya pada Jun lalu,” katanya.