Skip to main
Logo Malaysiakini

Mais terima kenyataan bertulis Don Daniyal

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengesahkan pihaknya sudah menerima kenyataan bertulis pendakwah bebas, Don Daniyal Don Biyajid berhubung fakta ceramah agama dilakukannya sebelum ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kenyataan bertulis pendakwah itu telah diterima pada 9 Julai lalu.

“Jawatankuasa tauliah telah menerima pada hari Selasa baru-baru ini,” katanya dipetik Kosmo! Online.

Bagaimanapun, Mohd Shahzihan tidak mengulas lanjut ketika ditanyakan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil susulan sudah menerima surat tersebut.

Pengurus Don Daniyal, Anna turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah menghantar dokumen yang diminta kepada Jais.

“Kami sudah menghantarnya. Selebihnya boleh bertanyakan kepada pihak Jais, terima kasih,” katanya.

Sebelum itu, nama Don Daniyal terkait kontroversi membabitkan kandungan ceramah sirah nabi.

Susulan itu, Jais mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan serta tidak mengundang Don Daniyal Don Biyajid pada 21 Jun lalu.

Don Daniyal kemudian diberikan tempoh selama 14 hari bagi memberi kenyataan bertulis selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 supaya penggantungan atau penarikan semula tauliah tidak dilaksanakan oleh jawatankuasa berkenaan terhadap pempengaruh terbabit.