Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Momen aneh dengan si Mansor Puteh

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Enam tahun dulu aku pernah berkata, filem adalah milik semua orang, bukan milik Mansor Puteh seorang.

Itulah ayat yang aku cipta di media sosial lalu cuba mencampakkannya ke dalam lubang telinga Mansor. Biar kepalanya berpinar-pinar sampai langkah siang dia terganggu dan tidur malamnya tak tenang.

Tidak berapa lama kemudian momokan aku itu dia jawab dengan sebaris komentar: “Dengar cakap Haris dan menang Oscar.”

Entah mengapa selepas itu kepala aku pula yang jadi berat memikirkan dia, dan apa yang dia kata.

Kata-kata Mansor yang hampir tidak membawa apa-apa erti pada aku itu pula yang sebaliknya buat siang aku gelap dan malam aku bimbang.

Ada beberapa momen aneh yang membuatkan aku percaya bahawa Mansor bukan seorang pengkritik, penulis, seniman dan karyawan biasa walaupun aku pada asalnya pernah marah dan benci dengan kata-katanya.

Momen pertama ialah sewaktu dia - entah bangkit dari mimpi ngeri apa - secara tiba-tiba mengecam P Ramlee sebagai seorang perosak pemikiran bangsa.

Sebagai seorang pembaca tulisan-tulisan yang sangat menyukai gaya dan sisi pandangnya, aku tentulah maklum kalau apa saja yang keluar dari mulut Mansor itu memang bukan saja ada keramat, bahkan ada banyak puakanya juga. Tapi momen itu berbeza.

P Ramlee seorang pemberani

Berbeza sewaktu Mansor mengatakan Bukit Kepong Jins Shamsuddin “bukan satu filem, tetapi cuma sebuah babak panjang dan berlarutan.”

Mansor sama sekali berbeza semasa berkata bahawa menonton filem Esok Masih Ada “sebenarnya banyak memeningkan fikiran.”

Ia juga langsung tak serupa dengan momen ketika Mansor berkata “menonton filem seperti Bukit Kepong dan Esok Untuk Siapa dan sebagainya tidaklah saya anggap sebagai sesuatu yang indah.”

Aku malah bersama-sama dengan Mansor apabila dia berkata “filem-filem yang dihasilkan Jins Shamsuddin sememangnya bukan untuk diulas oleh sesiapa pun. Ia harus dibiarkan dan jangan dikacau. Tidak terdapat sebarang elemen sinematik, artistik dan intelektual di dalamnya.”

Namun kenyataan P Ramlee yang Mansor sifatkan sebagai seorang perosak pemikiran bangsa tak dapat aku terima.

Rasa marah yang aku pendamkan buat beberapa lama akhirnya aku redakan dengan mengarang satu artikel berjudul “Betulkah P Ramlee rosakkan pemikiran Melayu?”

Dalam artikel itu aku cuba mempertahankan diri dan semua karya-karya P Ramlee ketika P Ramlee sudah tiada lagi di dunia ini untuk mempertahankan dirinya sendiri.

Hujah yang aku guna mudah - banyak filem P Ramlee yang mengangkat tema kemanusian dan meninggikan isu moral serta perpaduan yang selama ini mengongkong pemikiran bangsa akibat teruk dipengaruhi tradisi-tradisi feudal.

Jelas aku lagi, kerja P Ramlee bukan saja halus pada aspek seni dan jelas pada segi sikap, tapi apa yang lebih penting ialah dia berani menentang tirani sama ada dalam politik, sosial mahupun ekonomi.

Cuba jaja tapi tak laku

Tiada siapa yang terlepas daripada kritikan seni P Ramlee. Daripada pimpinan parti politik yang gila kuasa, sampai ulama penunggang agama hinggalah ke tengku-tengku mulia yang berdarah bangsawan.

Kritikan-kritikannya yang selamba itu tidak mungkin merosakkan bahkan ia punya jasa dalam meninggikan pemikiran bangsa.

Namun semua itu sebenarnya aku tulis dengan suatu rasa kekaguman yang lebih luar biasa terhadap Mansor ketimbang P Ramlee yang sedang cuba aku pertahankan.

Momen aneh itu mungkin datangnya daripada empati aku terhadap sejarah Mansor yang aku kenal sebagai seorang manusia terbuang dan diketepikan oleh industri filem kecil di negaranya sendiri.

Aku percaya tidak akan ada pengarah dan pengkritik filem yang seberani atau segila Mansor.

Tidak akan ada seorang lagi Mansor Puteh yang tergamak berkata “filem P Ramlee hebat dan disanjung, tetapi semua tak tahu banyak filemnya merosakkan pemikiran Melayu yang terkesan sehingga sekarang.”

Sungguhpun ayat yang aku cipta di media sosial itu dapat membangkitkan sedikit kemarahan kalangan kecil teman-teman aku terhadap Mansor, tapi tentulah aneh bilamana momen seorang seniman sebesar P Ramlee teruk dikecam ia tidak menjadi polemik dan gagal mendapat perhatian bertaraf nasional.

Semenjak momen aneh itu, aku dan Mansor mula berhubung lalu kami menjadi kawan. Aku kemudiannya menawarkan sesuatu yang aku yakin akan memberi dia sedikit kegembiraan.

Dari situ aku mula menjaja nama Mansor ke beberapa institusi pengajian tinggi dan mendekati beberapa pemilik media penyiar atas talian.

Semua itu dibuat dengan harapan akan ada program diskusi yang dapat diadakan berkenaan filem dan kritikan.

Atau paling tidak, dapatlah filem-filem cereka seperti Seman: A Lost Hero atau dokumentari seperti Aceh Does Not Believe In Tears, Rohingya Kissa dan A Crossed Amerika yang pernah Mansor hasilkan dengan payah itu disaksikan oleh lebih ramai penonton Malaysia.

Tapi kurator, pensyarah dan dekan semuanya tidak menunjukkan minat walaupun sedikit.

Aku makin sedar Mansor memang sangat-sangat keseorangan.

Sepertimana bertahun-tahun dia menulis dan menerbitkan bukunya sendiri, demikian jugalah dia bertahun-tahun tanpa lelah cuba menghasil dan menerbitkan filemnya secara berseorangan.

Namun momen paling aneh ialah saat berita kematiannya menjadi berita yang mengejutkan. Tiba-tiba media sosial kebanjiran dengan nama Mansor, dan gambar-gambar dia tular.

Rupa-rupanya Mansor ada ramai teman! Rupa-rupanya dia adalah penulis, pengkritik dan pembikin filem kesayangan.

Cuma malangnya - seperti selalu - semua itu berlaku pada momen orang seni seperti Mansor tidak bernyawa lagi. Dalam konteks Mansor, dia mati akibat kemalangan.

Mansor meninggalkan orang seperti aku untuk terus hidup dengan momen-momen aneh yang memalukan sebab terpaksa menelan kezaliman industri filem di negara ini yang selalu menjadi pembunuh.

Mereka tekal membunuh kreativiti anak seni sendiri. Ia adalah sepertimana yang berlaku pada Mansor yang mati seorang diri.


HARIS HAUZAH ialah seorang pencinta pawagam yang anticola dan popcorn.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.