Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Signifikasi seni budaya Melayu Pulau Pinang

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Kecoh tentang sebuah festival kesenian antarabangsa yang akan diadakan di bandar Pulau Pinang tetapi tidak memasukkan atau mempromosikan seni budaya Melayu dalam teaser atau iklannya masih belum reda. Respons yang diperoleh rata-ratanya kemarahan.

Difahamkan festival kesenian antarabangsa ini bukan calang-calang. Ia bukan sebuah acara tahunan yang dibuat secara gilang-gemilang. Ia telah dijalankan lebih dari 15 tahun. Yang menimbulkan kemarahan umum ialah nampaknya acara ‘kesenian’ ini cetek keseniannya.

Kesenian tidak boleh dipisahkan dari kebudayaan dan kebudayaan terbentuk dari sejarah perjuangan bangsa. 

Saya percaya dan berpegang teguh kata-kata Aristotle: 

“Art is a form of imitation and it’s the representation of people’s struggle nature in the medium of human actions…It can’t be neglected”. 

Dalam Bahasa Melayu, Aristotle menyatakan seni adalah perwakilan budaya sesuatu masyarakat dan sejarahnya tidak boleh diperlekeh.

Menghairankan, kenapa sebuah festival kesenian antarabangsa tidak menyedari hakikat ini.

Apakah mereka tidak sedar atau ada sesuatu yang mahu dinyatakan atau disembunyikan? Kenapa dalam promosi acara itu, seni budaya Melayu Pulau Pinang dipaparkan? Apakah seni budaya Melayu tidak signifikan di Pulau Pinang?

Menafikan seni budaya Melayu Pulau Pinang sebagai satu tunjang kesenian yang mewakili negeri ini adalah satu penindasan. Seni budaya Melayu Pulau Pinang bukan sahaja mempunyai sejarah yang panjang, malah ianya sesuatu yang signifikan kepada negara ini. Ia tidak perlu didewa-dewakan tetapi penafian terhadapnya itu kekejaman.

Seni budaya tidak terbentuk sepintas lalu. Ia melalui proses yang mendalam. Kepercayaan disulam dengan kefahaman dan diperlihatkan dalam bentuk persembahan. Proses ini sudah pasti melibatkan pemikiran.  

Seni budaya Melayu memainkan peranan yang cukup penting sebagai tunjang budaya dalam pembentukan karektor Pulau Pinang. Seni budaya yang saya maksudkan di sini bukan tentang bentuk persembahan tetapi perbuatan yang mewakili idea dan pemikiran canggih seniman itu.

Joget juga metafora

Silat, joget mahupun tarian Melayu itu bukan sekadar gerak, tetapi metafora. Ia bercerita kepada kita tanpa kata-kata. Ia perlambangan yang mewakili pemikiran dan manifestasi sebuah perjuangan panjang, perjuangan orang Melayu. 

Seni budaya Melayu ini secara kreatif melambangkan kebaikan melawan kejahatan, kebaikan melawan keburukan. Dalamnya terkandung unsur nasihat, ingatan dan teguran. Dalam masa yang sama ia memberi amaran.

Sudah pasti sebelum kedatangan Inggeris di Pulau Pinang pada 1786, Orang Melayu sudah berpencak silat dan berjoget di Batu Uban dan Bayan Lepas.

Sudah pasti ada persembahan tari inai, tari canggung atau mek mulung pada majlis keramaian di Tanjung Penaga, nama asal George Town.

Pulau Pinang ini metropolitan. Penduduknya bersifat progresif. Penafian kebenaran seperti ini akan terbongkar juga. Ia akan memakan diri. Penafian seni budaya Melayu sebagai tunjang seni budaya Pulau Pinang hanya mendatangkan kemarahan.

Sebagai anak Tanjung, kemarahan rakyat ini sangat berasas. Ia bukan satu kemarahan yang terdorong dari sentimen kebencian. Ia bukan kemarahan yang terdorong oleh dendam tetapi kemarahan yang timbul ini hasil dari kesedaran dan kecelikan terhadap sejarah dan budaya.


IZZUDDIN ISMAIL ialah pembaca Malaysiakini.

Bagaimanapun tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal ini.