Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramai penyanyi sekarang gagal bawa identiti sendiri

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Penyanyi Aishah Ariffin menyeru pendatang baru dalam industri seni tarik suara agar tampil dengan identiti sendiri, bukannnya terikut-ikut dengan cara penghibur sedia ada.

Aishah berkata, jika seseorang penyanyi ingin terus bertahan dalam bidang yang mencabar itu, mereka wajar bijak memperkenalkan diri dan nama dalam industri muzik dengan ‘resipi’ sendiri.

“Sewaktu era 1980-an, apabila dengar lagu-lagu yang diputarkan di corong radio, kita boleh kenal siapa yang menyanyi itu. Misalnya Zaiton Sameon, Francisca Peter, Ella mahupun Ramlah Ram.

“Penyanyi sekarang pula berkongsi banyak persamaan dari segi nyanyian mereka. Saya tidak kata itu salah, cuma itulah apa yang saya nampak.

"Itu pandangan saya, pandangan orang lain saya tidak pasti,” katanya ketika ditemui pada pelancaran lagu Di Pinggir Kayangan di sebuah restoran di Kuala Lumpur semalam.

Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin merakamkan dan memberi nafas baru kepada lagu nyanyian asal Biduanita Negara, Sharifah Aini yang juga idolanya.

Menurut Aishah, 59, dia memilih lagu itu untuk dirakamkan semula kerana mesej berjaya disampaikan melalui lirik yang disifatkannya menyentuh jiwa.

“Lagu ini saya rakam dengan susunan muzik yang agak berlainan supaya kedengaran lebih moden.

"Seingat saya, liriknya mungkin ditulis oleh arwah, namun mesej disampaikan begitu bermakna.

“Saya tidak tahulah generasi sekarang boleh rasa atau tidak apa saya yang saya rasakan mengenal lagu ini. Tapi itulah apa yang saya rasa.

“Lagu-lagu seperti Di Pinggir Kayangan inilah yang harus diperkenalkan kepada generasi baru. Ia begitu bermakna buat saya kerana mengingatkan saya kepada idola saya,” katanya.

Ditanya perasaannya sekiranya ada pendengar yang membuat perbandingan cara nyanyiannya dengan Sharifah Aini, penyanyi Haruskah Ku Menyuarakan itu berkata, dia menerima pendapat itu sebagai “cabaran.”

Aishah bahkan mengakui dia juga sedia maklum jika seseorang artis merakamkan semula sesebuah lagu, pasti vokal mereka akan dibanding-bandingkan dengan milik penyanyi asal.

“Saya terima ia sebagai penghargaan. Saya OK saja. Lagu ini dinyanyikan ikut versi saya.

“Ia juga sudah dijangkakan (dibanding-bandingkan) apabila seseorang penyanyi memilih untuk menyanyi lagu cover (saduran),” katanya.