Skip to main
Logo Malaysiakini

Kekerasan, kegelapan hantui penonton Longlegs

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Filem Longlegs ditulis dan diarah oleh Osgood Perkins bergenre thriller psikologi dan seram bersama misteri mungkin naskhah yang bakal menghantui minda penonton dengan aksi brutal dan darah yang dipaparkan.

Mana tidak, bermula seawal minit kelima penonton sudah disogok rasa tegang dan gerun yang membayangkan mereka seterusnya bakal menyaksikan lebih banyak babak ngeri sepanjang filem tersebut.

Menonton Longlegs terasa seperti menyaksikan filem The Silence of The Lambs yang berkisar kisah seorang wanita FBI menyelesaikan kes pembunuhan misteri.

Perkins dalam satu wawancara pernah memberitahu inspirasinya untuk menghasilkan Longlegs diperolehi selepas dia menonton The Silence of The Lambs.

Untuk rekod, dalam Silence of The Lambs, pelatih FBI, Clarice Starling (Jodie Foster) diarahkan majikannya untuk menemu bual banduan yang juga bekas pakar psikiatri serta kanibal bernama Hannibal Lecter.

Dengan latar belakang era 1990-an, Longlegs berkisahkan seorang ejen baru FBI bernama Harker (Maika Monroe) berjaya menarik perhatian pihak atasannya selepas berjaya menyelesaikan kes berdasarkan gerak hati.

Dia kemudian ditugaskan menyelesaikan sebuah kes pembunuhan bersiri yang sudah berlarutan sejak berdekad lamanya. Ia membabitkan bapa-bapa yang membunuh isteri serta anak mereka.

Semakin lama siasatan dijalankan, Harker menyedari bahawa lebih banyak bukti mengaitkan pembunuh itu - yang dikenali sebagai Longlegs (Nicholas Cage) - dengan okultisme dan satanis.

Ejen FBI itu menyedari dia perlu bertindak segera untuk menghalang pembunuhan keluarga yang seterusnya.

Perkins membina ketegangan dalam filem itu secara perlahan-lahan, malah dia tidak memberi penonton peluang untuk berasa lega sepanjang menonton naskhah tersebut.

Bagi penonton yang terlalu banyak berfikir (overthinking), Longlegs boleh jadi pemicu untuk mereka yang sukakan ketegangan terutama apabila muncul sejumlah adegan memaparkan kekerasan seperti tembakan dan tikaman diiringi visual yang seram dan gelap.

Filem itu mula ditayangkan di pawagam tanah air sejak 12 Julai lalu.