Skip to main
Logo Malaysiakini

Saman RM500,000: Terserah pada peguam, kata Michael Ang

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengarah, penerbit dan pelakon, Michael Ang, menyerahkan kepada peguamnya untuk menangani tuntutan bayaran difailkan syarikat pengurusan Armani Entertainment Sdn Bhd (Armani).

Pengarah Hero Seorang Cinderella itu berkata dia enggan memberikan ulasan lanjut berhubung perkara tersebut memandangkan dia juga sedang sibuk menjalani penggambaran.

“Aduh banyak sangat panggilan dan tengah shooting jadi kita tulis jawapan sini OK.

“Bermula hari ini, saya tiada komen, biar peguam saya yang selesaikan,” katanya.

Pada sidang media diadakan hari ini, Armani tampil mendakwa Michael, 48, gagal menunaikan beberapa tugas seperti yang termeterai dalam kontrak di antara mereka.

Susulan itu, syarikat terbabit memfailkan tuntutan saman sebanyak RM500,000 kerana menganggap pengarah terbabit melanggar kandungan dalam dua kontrak sepanjang tiga tahun kerjasama mereka.

Antaranya Michael memberikan jaminan memasukkan artis naungan syarikat itu dalam dua program realiti televisyen popular, dan juga tawaran sebagai pelakon utama serta pelakon pembantu dalam drama terbitan sutradara itu.

Bagi Michael, isu saman menyaman antara selebriti sudah menjadi asam garam dalam industri.

Katanya, isu kebiasaannya timbul apabila semua pihak berasakan masing-masing berada di pihak yang benar.

“Biasalah orang atau artis kena saman. Dia fikir dia betul, dan saya fikir saya betul, jadi mulalah saman menyaman,” katanya.