Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyebar berita palsu 'pernikahan' Laudya Cynthia mohon maaf

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Seorang bloger yang menyebarkan khabar palsu kononnya pelakon terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella, menjadi isteri ketiga seorang pendakwah popular hari ini tampil memohon maaf secara terbuka.

Menggunakan akaun Instagram Sulhidayah Syam, dia membuat permohonan tersebut melalui Insta Story dan mengakui maklumat yang disebarkan sebelum ini adalah palsu.

Dia juga mengaku terlalu cepat percaya kepada khabar yang disampaikan kepadanya walaupun ia tidak sahih.

“Status terdahulu itu saya sudah turunkan. Saya mohon agar tidak disebarkan lagi,” kata akaun tersebut.

Nama Laudya Cynthia Bella tiba-tiba mengundang perhatian kerana pelakon yang sudah menjanda empat tahun itu didakwa sudah bernikah dengan pendakwah Muhammad Nuzul Dzikri semalam.

Melalui hantaran tersebut, majlis pernikahan bekas isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan Muhammad Nuzul didakwa hanya dihadiri keluarga terdekat termasuk beberapa pendakwah lain.

Rumah tangga Laudya Cynthia Bella dengan Engku Emran hanya mampu bertahan selama tiga tahun selepas mereka bercerai pada 2020.

Untuk rekod, Engku Emran juga adalah bekas suami aktres, Erra Fazira.

Pemilik akaun terbabit melakukan penjelasan selepas mendapati kisah itu tular hingga ke grup sembang WhatsApp.

Menyedari impak daripada penyebaran tersebut, Sulhidayah Syam kemudian menghapuskan hantaran berkaitan Laudya Cynthia Bella.

Dia itu turut memohon maaf kerana menyebarkan berita palsu hingga mengundang kontroversi sekali gus menjejaskan imej Laudya Cynthia Bella dan Muhammad Dzikri.

“Saya mohon ampun kepada Allah, semoga Allah mengampuni kesalahan dan kelalaian saya. Aamiin allahumma aamiin,” katanya.

Aktres itu mahupun wakilnya setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas berhubung spekulasi yang kini hangat diperkatakan.