Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengalaman digari dengan isteri jadi kenangan manis Mamat Sepah

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengalaman direman bersama pasangan sendiri pada 2 Julai lalu disifatkan suatu ‘kemanisan’ buat pelawak Mamat Sepah.

Katanya, detik itu juga boleh dianggap simbolik kepada perkahwinan dia dengan Nordiana Ibrahim bakal berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.

“Kalau nak cerita kenangan manis sepanjang hidup aku dulu mungkin boleh katakan sewaktu sepah juara Raja Maharaja Lawak.

“Tapi kalau sekarang, kenangan manis tidak boleh dilupakan ialah apabila aku bergari dengan bini aku pergi ke mahkamah dan buat ujian air kencing.

“Kalau aku dan dia panjang umur, dialah satu-satunya manusia yang pernah digari bersama aku: ini bagi aku secara simboliknya akan hidup lama bersama,” katanya.

Mamat berkata demikian dalam sesi sembang Dol’s Podcast yang dikendalikan bersama Shuib, Shuk dan Fizie malam tadi.

Mengulas lanjut perkara itu, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad berkata, isterinya yang juga seorang anggota polis masih terkesan dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, walaupun hampir sebulan berlalu, Nordiana seperti tetap berendam air mata menerima takdir yang menimpa mereka sekeluarga.

“Ya, aib bini aku macam mana? Kita artis sudah biasa kena aib, jadi aku tidak kisah," katanya.

Tak mahu beri ulasan

Menurut Mamat lagi, isterinya itu mengalami masalah anxiety yang teruk dan kejadian tersebut menyebabkan wanita terbabit selalu "bergenang air mata."

Mamat dan Nordiana sebelum ini direman bagi membantu siasatan berkaitan penyebaran gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Sahabudin Abd Manan, di IPD Shah Alam baru-baru ini.

Gambar tersebut tersebar melalui aplikasi Telegram.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Bagaimanapun, Mamat, 38, enggan mengulas lebih terperinci berhubung kes berkenaan kerana mendakwa ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Aku orang yang disyaki, tapi belum dituduh, kebetulan ada kes pembunuhan yang disebarkan.

“Zaman sekarang kan zaman viral. Aku tidak mahu ulas sebab tidak mahu mendahului siasatan,” katanya.

Untuk rekod pada 29 Julai lalu media melaporkan, tiada sebarang pertuduhan akan dibuat ke atas pasnagan berkenaan.

Ketua Polis Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, berkata sebaliknya isteri pelawak terbabit akan diambil tindakan oleh Polis Diraja Malaysia.