Skip to main
Logo Malaysiakini

JK Rowling undang kritikan lepas label Imane Khelif lelaki

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pencipta watak terkenal Harry Potter, JK Rowling mengundang kritikan selepas melabel peninju Olimpik wanita dari Algeria, Imane Khelif sebagai lelaki.

Kritikan itu berlaku selepas penulis berkenaan menciap di X serta melampirkan imej Imane tersenyum pada lawannya selepas perlawanan.

“Bolehkah mana-mana imej merumuskan pergerakan hak lelaki baru kita dengan baik?

“Senyuman sinis seorang lelaki yang tahu dia dilindungi pertubuhan sukan misoginis menikmati kesedihan seorang wanita yang baru ditumbuk di kepala serta memusnahkan kariernya,” katanya.

Rowling juga menulis kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk mengatakan perlindungan badan itu daripada kecederaan adalah sekadar gurauan.

“Usaha seorang peninju muda wanita berlatih bersusah-payah dirampas kerana kamu membenarkan seorang lelaki masuk ke gelanggang bersamanya,” katanya.

Pertarungan antara peninju Itali, Angela Carini dan Imane semalam hanya berlangsung 46 saat selepas Angela tiba-tiba menangis dan menarik diri daripada perlawanan tersebut.

Atlet itu kemudian memberitahu media bahawa pengalaman dirasai tidak pernah dialami sepanjang dia bergelumang dalam bidang itu.

“Saya diberitahu banyak kali bahawa saya adalah seorang pahlawan, tapi saya memilih untuk berhenti demi kesihatan saya. Saya tidak pernah merasai satu tumbukan seperti ini,” katanya.

Sukan Olimpik di Paris mencetus kontroversi kerana membenarkan Imane - seorang daripada dua peninju wanita bertarung pada temasya tersebut walaupun atlet itu pernah hilang kelayakan daripada kejohanan dunia wanita pada 2023 kerana gagal ujian testosteron dan kelayakan jantina.

Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni memberitahu adalah penting untuk dapat bersaing atas dasar kesamarataan.

“Namun, dari sudut pandangan saya ia bukanlah pertandingan yang seimbang,” katanya.

Bagaimanapun, Angela sempat memberikan ucapan kepada Imane selepas perlawanan mereka berakhir.

“Saya berharap dia dapat meneruskan perlawanan hingga ke akhirnya dan boleh bergembira. Saya di sini bukan untuk menghakimi.

“Sesuatu itu betul atau tidak betul bukanlah terpulang kepada saya untuk tentukan,” katanya.

Selain Rowling, wajah terkenal lain termasuk Elon Musk dan ahli gusti profesional, Logan Paul turut meluahkan ketidakpuasan hati dari sudut keadilan apabila Sukan Olimpik membenarkan peninju terbabit bertanding kerana ramai yang percaya dia seorang lelaki.

Namun, Imane dibesarkan dan dikenali sebagai wanita dan bukan transgender. Atlet dengan Perbezaan Perkembangan Seksual (DSD) iaitu segelintir orang yang dibesarkan sebagai wanita tetapi memiliki kromosom XY yang membawa kepada level testosteron seperti lelaki ketika ini dibenarkan untuk bertanding dalam perlawanan wanita di Olimpik.

Sementara itu, jawatankuasa Olimpik pada satu kenyataan menegaskan walaupun Imane gagal ujian gender tahun lalu penyertaannya dalam sukan itu adalah sah.

“Setiap individu mempunyai hak untuk menyertai sukan tanpa diskriminasi,” katanya.