Skip to main
Logo Malaysiakini

Terkait kes mahkamah tak buat Haris serik ambil Rafidah bekerja

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengasas Arisprop Holdings Sdn Bhd (Arisprop), Haris Embong, mengakui dia tidak kesal membantu pelakon Rafidah Ibrahim mendapatkan pekerjaan selepas pandemik Covid-19 melanda tiga tahun lalu.

Usahawan produk sejuk beku Aris Burger itu juga berkata dia terbuka sekiranya Rafidah ingin bersemuka bagi menyelesaikan konflik di antara mereka secara baik.

“Saya memang tidak mahu perkara (kemelut) ini berlaku. Jadi untuk yang bertanya soal serik atau tidak, saya tidak serik kerana bukan semua artis tidak baik, jadi pengalaman ini adalah satu pengajaran.

“Sebenarnya saya tiada masalah bersemuka.

"Sejak awal saya pernah minta dia turunkan hantaran pada 2021 dengan menghubungi dia selain memberikan teks pesanan ringkas melalui WhatsApp namun jawapan diberikan hanyalah: Tuan tunggu jawapan daripada peguam saya," katanya.

Menurut Haris sebagai seorang penerbit, pengarah dan pelakon, dia sering dikelilingi artis namun enggan 'menghukum' golongan terbabit secara pukal hanya disebabkan seorang daripada mereka berbuat tidak wajar kepadanya.

Haris Embong

Haris, 47, juga berkata dia bukan ingin menghukum Rafidah sebaliknya menegaskan dia berperang pada objektif utama iaitu ingin membersihkan imejnya yang sudah terjejas.

Bahkan, menurutnya, secara peribadi dia suka membantu orang lain.

“Sebenarnya saya tidak meletakkan sebarang jumlah tuntutan mahupun syarat pembayaran malah amaun ganti rugi dikenakan terhadap Rafidah adalah ditentukan mahkamah.

“Syarikat kami ada program membantu usahawan. Saya juga suka bantu ramai orang, bagi saya memaafkan itu adalah perkara yang disarankan dalam Islam,” katanya pada sidang media diadakan bertujuan membersihkan namanya di sebuah kafe di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 31 Julai lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee memutuskan bahawa Rafidah bersalah atas dakwaan memfitnah Arisprop dan pengasas syarikat terbabit.

Bakal ada filem baru

Susulan itu, Rafidah diarah membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada plaintif pertama (Haris) dan RM150,000 untuk plaintif kedua (Arisprop).

Dia juga perlu membayar kos RM30,000 kepada kedua-dua plaintif.

Faedah pada kadar lima peratus setahun juga dikenakan bermula dari tarikh penghakiman menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan berkenaan adalah RM280,000

Haris (dua dari kiri) bersama peguam korporat Arisprop, Mohd Hifdzi Hamzah; ahli Lembaga Pengarah Arisprop, Ismail Taib; dan peguam Foo Hong Chuen

Dalam saman yang difailkan pada Okt 2021, Haris mendakwa Rafidah yang juga pempengaruh media sosial telah menerbitkan dua hantaran fitnah di Facebook pada 21 Sept 2021 dan 18 Okt 2021.

Sementara itu peguam korporat kumpulan syarikat berkenaan, Mohd Hifdzi Hamzah, sekiranya Rafidah tidak melunaskan pembayaran tersebut dia boleh dikenakan tindakan muflis.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak Rafidah dan dimaklumkan dia tidak boleh memberikan sebarang komen.

Jurucakapnya mendakwa, pelakon terbabit dikenakan injunksi untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan kes tersebut.

Dalam perkembangan berbeza, Haris berkata dia bakal menerbitkan sebuah filem genre seram berjudul Batik Lepas tidak lama lagi.

Katanya, filem itu akan menampilkan pelakon terkenal iaitu Beto Kusyairi.

“Penggambaran di sekitar Terengganu itu dijangkakan akan bermula Jan tahun depan,” katanya.