Skip to main
Logo Malaysiakini

Jep bengang: Dah tak ada nama lain nak ditunggang?

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu, meluahkan rasa tidak puas hati selepas namanya dipetik dalam sebuah audio siar (podcast) yang ditayangkan di platform YouTube sekumpulan selebriti.

Menurut Jep, pada asalnya dia enggan melayan perkara yang dianggap remeh itu, namun bertukar fikiran untuk memberi penjelasan selepas namanya dikaitkan beberapa kali.

“Aku ini sebenarnya malas nak layan hal-hal remeh tapi apabila dibiarkan makin seronok pula mereka bersembang.

“Dah tak ada nama lain ke nak 'ditunggang'?” soal Jep melalui akaun Instagram peribadinya.

Pemilik nama sebenar Mohd Nadzri Zainal Abidin itu mendakwa dia semakin kesal apabila isu yang dibincangkan dalam program tersebut adalah tidak sahih.

“Apa yang aku boleh katakan cerita dalam podcast itu kebanyakannya direka dan ditokok tambah.

“Harap tiada lagi yang bertanya (selepas ini),” katanya.

Bagaimanapun, Jep tidak menjelaskan secara terperinci apa yang menimbulkan ketidakpuasan hatinya sehingga dia memilih untuk membuat kenyataan balas.

Menjengah ke ruangan komen di Instagram, Jep, 39, segelintir pengikut-pengikutnya dilihat memberi maklum balas berhubung apa yang mereka lihat pada program audi siar terbabit.

Antara mereka berkata, apa yang dibualkan bukanah aib yang disebarkan tetapi hanya sembang biasa bersama kawan-kawan lama.

Namun, Jep mempunyai pendapat yang sebaliknya.

“Sembang kenangan tak apa tapi janganlah direka dan ditokok tambah cerita,” katanya.