Skip to main
Logo Malaysiakini

PM bantu ringankan beban kos bedah mata Safiah Ibrahim

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Seorang lagi artis veteran mendapat 'sentuhan istimewa' dari Putrajaya.

Kali ini pelakon dan penyanyi, Safiah Ibrahim, yang disantuni oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui setiausahanya yang menyampaikan sumbangan semalam.

Antara lain sumbangan tersebut diserahkan bagi membantu Safiah, 76, menjalani pembedahan mata.

Sumbangan berkenaan disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi.

“Pagi tadi (semalam) setiausaha politik saya, Farhan, menziarahi Safiah yang dikhabarkan mengalami masalah katarak mata yang mengganggu fungsi penglihatannya.

“Lantas dia perlu segera menjalani prosedur pembedahan mata bagi mengelak komplikasi yang tidak diingini.

“Justeru, Farhan menyampaikan sumbangan bagi pihak saya untuk meringankan bebas kos perubatan,” kata Anwar di Facebook.

Safiah atau nama pentasnya Sophia pernah membintangi beberapa filem termasuk Ragam P Ramlee dan Dr Rushdi yang mendapat sentuhan seniman agung Malaysia terbabit.

Dia mula aktif di pentas hiburan sejak era 1960-an.

Safiah merupakan kakak kepada dua artis terkenal negara ini, iaitu Khadijah Ibrahim atau Kathy, dan Allahyarham Latif Ibrahim.

Dalam hantaran sama, Anwar sempat mendoakan agar pembedahan mata Safiah berjalan lancar dan diberi kesembuhan segera.