Skip to main
Logo Malaysiakini

Nabil berlari-lari, guna 'kabel khas' demi atlet Malaysia

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Keletah penyampai radio dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad, menggunakan 'kabel' untuk menarik perhatian Lee Zii Jia telah mencuri hati ramai orang.

Dengan helah tersebut Nabil terus didekati pemain badminton yang mengharumkan nama negara di Paris itu apabila dia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pagi tadi.

Untuk rekod, 'kabel' yang digunakan Nabil bagi menarik perhatian Zii Jia ialah nenek ahli sukan terbabit.

“Yes! Yes! Menggunakan kabel nenek, kita berjaya!” kata Nabil dalam video yang dimuat naik di Instagram stesen radio Era hari ini.

Sejak pagi Era memberikan misi khas kepada Nabil untuk menyambut kepulangan wira negara di KLIA dan bergambar dengan mereka.

Dalam hantaran berasingan, Nabil, 40, turut menyambut kepulangan pemain beregu utama lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta.

“Guys alhamdulillah misi selesai. Kita dapat jumpa Lee Zii Jia, dapat berjumpa Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

“Dapat juga walaupun sekejap sebab lihatlah keadaan macam mana, memang sibuk sangat,” katanya.

Zii Jia berjaya membawa pulang pingat gangsa kedua negara setakat ini selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen 21-16, 21-11 di Porte de La Chapelle Arena.

Sebelum itu Aaron dan Wooi Yik menyumbangkan pingat gangsa pertama selepas menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19.

Terdahulu, Nabil terpaksa berkejar-kejaran mendapatkan ruang bagi menyambut ketibaan pemain badminton negara dari balai ketibaan antarabangsa ke domestik sebanyak dua kali.

Ketiga-tiga atlet itu akhirnya muncul di balai ketibaan domestik.

“Terima kasih banyak semua yang tunggu kita sejak pagi tadi.

“Dari (balai ketibaan) antarabangsa ke domestik, domestik ke antarabngsa dan kembali semula, sangat-sangat berbaloi, puas hati.

“Ini untuk pasukan Malaysia,” katanya.