Konsert Taylor Swift di Vienna batal akibat ancaman keganasan
GLOBAL | Tiga persembahan Taylor Swift di Vienna dibatalkan, menurut penganjur lewat Rabu selepas dua suspek ditahan kerana didakwa merancang serangan pengganas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Keputusan untuk membatalkan konsert yang dijadualkan pada Khamis, Jumaat dan Sabtu minggu ini diumumkan oleh Barracuda Music menerusi hantaran di Instagram.
Ia dibuat beberapa jam selepas penguatkuasa undang-undang Austria mengumumkan bahawa dua individu ditahan kerana disyaki merancang serangan, termasuk di konsert Swift.
Pengarah keselamatan awam di Kementerian Dalam Negeri Austria, Franz Ruf berkata bahan kimia telah dirampas daripada seorang warga Austria berusia 19 tahun.
Polis bimbang tentang kemungkinan adanya bahan letupan, telah mengambil langkah awal dengan mengosongkan rumah-rumah dan rumah penjagaan.
Menurut polis, suspek ditahan pada pagi Rabu di bandar Ternitz, 75 kilometer ke barat daya Vienna.
Seorang lagi individu ditahan pada petang yang sama di Vienna. Polis bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.
- Bernama-dpa
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai