Skip to main
Logo Malaysiakini

KDN 'ikat' filem Takluk: Lahad Datu dengan SOP ketat

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenakan syarat tertentu kepada produksi Takluk: Lahad Datu bagi mengelak naskhah itu menyentuh sebarang sensitiviti yang tidak diingini.

Kata pengarah filem itu, Zulkarnain Azhar, pihak berwajib terbabit turut turun padang menyelia proses penulisan skrip bermula dari peringkat awal hingga ke peringkat memantau sehingga penggambaran selesai.

“Antara prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kepada kami ialah tiada satu pun bendera Sabah dipaparkan. Begitu juga loghat negeri itu mahupun nama sebenar pihak musuh dilarang digunakan sepanjang pembikinan filem.

“Kita tidak buat ikut bahasa tertentu atau paparkan nama sebenar pengganas kerana tidak mahu guris perasaan atau menimbulkan kemarahan mana-mana pihak, selain mengelak daripada menjadikan filem ini sebuah naskhah penuh kontroversi," katanya.

Justeru filem itu disiapkan dengan menjadikan kisah sebenar sebagai inspirasi saja bagi mengembangkan plot.

Menurut pengarah yang terkenal melalui filem aksi seperti J Revolusi dan Air Force: The Movie - Selagi Bernyawa itu, objektif utama penghasilan filem terbarunya adalah ingin mengangkat tragedi hitam di negara ini sebagai pengajaran.

Selain itu, katanya, dia juga mahu mendedikasikan Takluk: Lahad Datu sebagai penghormatan kepada anggota keselamatan yang berjuang dan terkorban mempertahankan negara kira-kira 11 tahun lalu.

“Kita tidak mahu mengagungkan tindakan penceroboh sebaliknya mahu menghargai pengorbanan PDRM membanteras pengganas,” katanya pada majlis pelancaran filem Takluk: Lahad Datu di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Sangat berhati-hati

Pergerakan filem itu diinspirasi daripada kisah benar di awal pencerobohan sekumpulan pengganas Sulu dari Selatan Filipina di Lahad Datu mulai hujung Feb hingga 3 Mac 2013.

Dalam filem berkenaan, pencerobohan dilakukan kumpulan Gagasan Militan Nusantara (GMN) yang dipimpin oleh Raja Iskandar. Wataknya dilakonkan aktor veteran, Eman Manan.

Filem itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Ogos ini.

Mengulas lanjut, kata Zulkarnain, pihaknya memilih untuk menginspirasikan peristiwa hitam di Lahad Datu kerana proses menghasilkan karya berdasarkan kisah benar lebih sukar untuk disempurnakan.

“Sebelum ini ada filem dibuat berdasarkan kisah sebenar, namun perlu lalui proses rumit iaitu minta persetujuan waris," katanya.

Selain itu, Zulkarnain mendedahkan dia berdepan kesukaran sewaktu melakukan sesi saringan uji bakat untuk filem bebas potongan Lembaga Penapis Filem tersebut.

Katanya, demi mengelak perkara tidak diingini, dia terpaksa menolak banyak permohonan individu yang berminat menjadi pelakon tambahan dalam filem diklasifikasikan untuk P16 itu.

“Saya sangat berhati-hati dalam hal begini. Terpaksa tolak ramai yang nak jadi pelakon tambahan ketika di Sabah selepas dimaklumkan PDRM mereka tidak mempunyai kad pengenalan," katanya.