Skip to main
Logo Malaysiakini

Pop Shuvit terus perjuangkan karya selagi mampu

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Selepas 13 tahun 'hilang' dari radar industri hiburan, kumpulan genre hip hop rock, Pop Shuvit, melahirkan sebuah karya yang bukan saja menggambarkan sepenuh jiwa mereka dalam muzik bahkan diinspirasi daripada situasi berlaku hari ini.

Pemain gitarnya, Rudy Malik, berkata album Phantom Frequencies itu juga menjadi pendorong mereka untuk kembali aktif dalam dunia hiburan selepas ini.

“Kami masih aktif cuma dalam kapasiti berbeza kerana semuanya ada kerja masing-masing sama ada dalam industri kreatif atau muzik.

“Apabila kami tengok keadaan sekarang, kami rasa inilah masa terbaik untuk Pop Shuvit buat kemunculan semula terutama selepas menerima banyak permintaan peminat.

“Kami pernah adakan persembahan dan muat naik di TikTok yang kemudian tular. Dari situlah kami terima banyak komen yang minta keluarkan lagu dan album,” katanya ketika ditemui pada majlis memperdengarkan (listening party) Phantom Frequencies di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, konsep majlis yang pertama kali seumpamanya diadakan kumpulan itu juga menerima kesan positif daripada peminat yang hadir.

“Kalau fikirkan nak buat kemunculan semula, kami harus ada album dan ini juga adalah satu komitmen besar.

“Tambahan pula kami adakan listening party acara yang tidak pernah diadakan sebelum ini dan alhamdulillah ia sekali gus memberi kami inspirasi untuk terus berkarya,” katanya.

Tak dapat bayangkan

Kenyataan itu disokong DJ Uno yang menyatakan, selepas ini mereka merancang untuk mengadakan banyak persembahan pentas.

“Insya-Allah, itu adalah rancangan yang kami nanti-nantikan iaitu buat persembahan pentas secara langsung,” katanya.

Selain Rudy dan Uno, Pop Shuvit turut dianggotai oleh Moots (vokalis), JD (gitar) dan AJ (bass). Pada majlis itu, lapan lagu yang diperdengarkan adalah Gila Kuasa, Melaju, Awas (versi KruManic), Marabahaya Underground, Believer, Space Between Us, Over You dan Berbisik.

Album tersebut turut menampilkan pelbagai kolaborasi dengan nama-nama besar dalam industri muzik seperti Emmett Butterfingers, Ray Toro (vokalis My Chemical Romance), Yonnyboii, dan Fareed K-Clique.

Album baru itu akan dilancarkan di semua platform penstriman pada 6 September ini.

Menurut DJ Uno lagi, dalam Phantom Frequencies itu lapan lagu dibawa dengan sarat mesej tersirat. Misalnya Gila Kuasa yang terhasil oleh kolaborasi bersama Noh Salleh. Ia sebuah karya yang menyentuh isu semasa di Gaza.

Katanya, lirik lagu itu menggesa mereka yang terjejas untuk memperjuangkan kebebasan mereka terhadap penindasan.

“Anda tidak perlu jadi Kristian atau Muslim untuk mengambil berat apa berlaku di bumi Palestin itu.

“Kita semua hanya perlu jadi manusia untuk bercakap soal Gaza.

"Kami turut terkesan sebab kami pun ada keluarga dan anak. Tak boleh bayangkan kalau apa yang berlaku hari-hari di sana terjadi pada kita,” katanya.

Moots pula berkata, lagu paling mencabar untuk dipersembahkan ialah Over You.

“Lagu itu konsep pop dan lain daripada konsep kami. Sewaktu pertama kali dengar demo lagu tu saya dah rasa susah sebab di luar zon selesa.

"Buat band, lagu itu mempunyai bunyi yang berbeza,” katanya.

Ditanya sampai bilakah kumpulan itu akan terus memperjuangkan karya mereka, Moots menjawab: "Selagi kami boleh buat persembahan dan selagi masih bernyawa."