Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada pihak skeptikal, takut filem lakonan Syafiq Kyle tak boleh 'jual'

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Dilabel artis bermasalah, pelakon Syafiq Kyle mendedahkan atas alasan itu wujud segelintir pihak yang enggan mengambilnya bekerja kerana tidak mahu berdepan risiko kerugian besar.

Kata Syafiq, disebabkan isu yang dituding kepadanya itu, pihak yang skeptikal berpendapat filem dijayakannya tidak akan mendapat sambutan.

“Apabila lihat ada filem saya yang meletup (kutipan tinggi), saya lega kerana itu yang jadi kerisauan buat saya. Kejayaan saya hari ini mungkin berkat doa daripada keluarga.

“Sebelum ini dengar ada pihak melarang saya diambil bekerja kerana mereka anggap saya artis bermasalah.

“Mereka skeptikal terhadap saya. Kalau ambil bekerja juga nanti filem tidak hit,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik nama asal Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak itu berkata, hal tersebut sepatutnya tidak menjadi isu kerana seseorang pengkarya seharusnya memikirkan apa pengisian yang wajar dikongsikan kepada masyarakat.

Kata Syafiq, 32, begitu juga dengan dirinya, sebagai pelakon dia lebih memikirkan sumbangan yang boleh disampaikan kepada umum berbanding mengejar jumlah kutipan.

“Paling penting ini memang niat saya sejak dari awal saya masuk industri. Saya akan fikirkan apa yang boleh dirungkaikan dari filem itu bersama penonton.

“Bukannya fikir pasal hit tak hit, kutip tak kutip itu bukan kerja aku,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Takluk: Lahad Datu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Syafiq mengulas demikian ketika ditanya mengenai pembabitannya melalui filem terdahulu yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung.

Bagaimanapun, Syafiq tidak menghuraikan mengapa dia dilabel sebagai artis yang bermasalah.

Untuk tahun ini saja, pemenang tempat kedua Hero Remaja musim 2011/2012 itu muncul melalui filem Sheriff: Narko Integriti yang berhasil membawa pulang jumlah kutipan sebanyak RM64 juta dan The Experts (RM10 juta).

Terbaru, dia membintangi filem Takluk: Lahad Datu arahan Zulkarnain Azhar yang akan menjengah pawagam 22 Ogos ini.

Sementara itu mengulas berhubung filem terbaru lakonannya yang diinspirasikan daripada pencerobohan sebenar Lahad Datu pada 2013 itu, Syafiq berkata cabaran paling besar buatnya adalah apabila perlu berlakon mengeluarkan arahan kepada VAT 69.

Tambah Syafiq, hanya barisan hadapan saja merupakan pelakon sebenar manakala selebihnya adalah anggota komando yang turut bersama-sama berlakon dalam filem berkenaan.

“Kalau tidak beri arahan betul-betul, nanti mereka kata tidak terangsang dengan kata-kata semangat saya berikan. Mujur saya sempat jalani latihan dengan pegawai mereka sebelum beraksi di set penggambaran,” katanya.