Skip to main
Logo Malaysiakini

Nora jelaskan Rushdi tak bersalah

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Selepas mendedahkan penceraiannya di Instagram hari ini, penyanyi Nora tampil menjernihkan keadaan dengan menjelaskan Rushdi Ramli hanya bertindak atas nasihat seseorang.

Menurut Nora, orang ramai tidak wajar menyalahkan suaminya dalam hal itu.

“Ustaz tidak bersalah.

“Dia hanya mengikut arahan diberikan kepadanya iaitu melepaskan saya tanpa sebarang sebab dan merakam video sebagai bukti,” katanya.

Bagaimanapun, Nora tidak menjelaskan lebih lanjut siapa dimaksudkannya.

Terdahulu, Nora, 51, diceraikan talak satu oleh suaminya dan perkara itu didedahkan di media sosial sebagai bukti.

Nora juga mengiringi hantaran itu dengan memanjatkan kesyukuran kepada Allah.

“Alhamdulillah, selesai,” katanya.

Sejak tahun lalu, tular spekulasi mengenai pergolakan yang berlaku dalam rumah tangga penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu.

Namun, Nora menafikan perkara tersebut dan mengatakan dia masih isteri kepada pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya, itu.

Mereka mendirikan rumah tangga dalam satu majlis pada 2021.

Nora terlebih dulu mendirikan rumah tangga dengan Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Komposer terkenal itu meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Perkongsian Nora itu menimbulkan polemik di media sosial dengan segelintir yang berkata proses penceraian wajar dilakukan di mahkamah apatah lagi Rushdi adalah seorang yang mempunyai ilmu agama serta harus menjadi contoh baik kepada masyarakat.

Nora pada hantaran sama berkata ketika ini dia hanya tergamam tanpa dapat berkata-kata.

“Cukuplah Allah bersamaku. Allah saja yang tahu,” katanya.