Skip to main
Logo Malaysiakini

Hairul teruja dihadiahkan raket pingat gangsa Zee Jia

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pelakon Hairul Azreen teruja menerima hadiah istimewa berupa raket yang melakar sejarah di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.

Raket itu dihadiahkan Lee Zii Jia ketika dia meluangkan masa dan makan bersama keluarga Hairul.

Dalam hantaran dimuat naik di Instagram Story malam tadi, Zii Jia dilihat bersembang mengenai raket berkenaan.

“Ini raket yang membawa pulang pingat gangsa itu.

“Ada dua yang digunakan tapi ini semestinya salah satu daripada raket itu,” katanya yang kemudian disambut dengan sorakan daripada Hairul dan isterinya, pelakon Hanis Zalikha.

Hairul, 36, kemudian secara berseloroh berkata, dia mahu mengabadikan raket pemberian Zii Jia itu dengan cara tersendiri.

“Ini frame (bingkaikan) lah,” katanya.

Pada hantaran sama, pelakon filem Paskal itu berkata, Zii Jia turut menghadiahkan bulu tangkis kepada anak mereka, Alisa Aisyah, 5.

Selain Alisa, Hairul dan Hanis turut dikurniakan seorang anak lelaki, Yusuf Iskandar, 8.

Zii Jia menyumbangkan pingat gangsa kedua selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, 5 Ogos lalu.