Skip to main
Logo Malaysiakini

Haleeda tak rasa aib jual bahan organik

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Penyanyi popular era 1990-an, Haleeda Mazlin, mengakui dia sedikit pun tidak berasa malu apabila kini menjual barangan berasaskan organik kerana ia memang menjadi minatnya.

Kata Haleeda, dia bersedia merebut setiap peluang yang ada demi meneruskan kelangsungan hidup selepas menceburi bidang perniagaan di bawah Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS).

“Tidak ada perasaan malu kerana bagi saya, tugas menghiburkan orang ramai bukan sekadar di pentas.

“Saya memang minat berniaga dan bertemu orang ramai. Buat masa ini saya fokus menjual bahan-bahan organik, homemade products (produk buatan sendiri),” katanya yang dipetik Bernama hari ini.

Menurut Haleeda, 51, melalui kegiatan itu juga dia berpeluang menimba pengalaman baru dan bertemu orang ramai.

“Saya amat menghargai sapaan peminat apabila mereka terlihat saya di sini,” katanya.

Mengenai kariernya sebagai penyanyi, Haleeda berkata, dia tidak pernah menyangka lagu pertamanya, Setia Kasih, yang meledakkan namanya 33 tahun lalu masih menjadi siulan peminat muzik tempatan hari ini.

Cara komposer rakam lagu

Malah katanya, dia masih diminta menyanyikan lagu berkenaan setiap kali diundang membuat persembahan di mana-mana majlis keraian termasuk anjuran korporat ataupun untuk tujuan amal.

“Generasi baru yang minat lagu ini, walaupun tidak kenal siapa penyanyinya, apabila saya sebut lagu Setia Kasih, mereka tahu dan amat meminati lagu tersebut,” katanya.

Untuk rekod Setia Kasih berjaya menghuni carta lagu Muzik-Muzik kendalian televisyen TV3 untuk satu tempoh yang lama.

Bercerita lanjut, Haleeda berkata, ketika merakam Setia Kasih dia perlu memenuhi kehendak pencipta lagu tersebut, Fauzi Marzuki, yang amat teliti dengan karyanya.

Menurutnya, proses rakaman lagu menampilkan lirik Lukhman S itu tidak mudah dan jika berlaku kesilapan waima di peringkat penghujung, dia perlu menyanyikannya semula dari awal.

Feel (perasaan) juga kena sama walaupun rakam dah banyak kali. Saya kena betulkan nyanyian dengan cara yang susah… itu cara komposer dulu jaga vokal penyanyi,” katanya.

Justeru, menurut Haleeda dia mengambil masa beberapa hari untuk merakam lagu itu.

“Sebelum rakaman dijalankan, saya perlu memanaskan (warming up) suara dan apabila dah sedia barulah rakaman dijalankan.

“Fauzi juga selalu beri teguran dari segi lenggok dan perasaan saya ketika rakaman agar kena dengan lagu tersebut,” katanya.