Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis sahkan mayat Nidza Afham ditemui di jambatan Sungai Klang

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang dijumpai di sungai sekitar jambatan Sungai Klang hari ini adalah Muhammad Nidza Afham Mokhtar.

Mangsa berusia 23 tahun sebelum ini dilaporkan hilang sejak semalam.

“Mayat itu dijumpai kira-kira jam 7 petang tadi (Rabu) dan disahkan adalah individu yang dilapor hilang (Nidza Afham),” katanya dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, adiknya yang juga penyanyi Aufahanie memohon bantuan orang ramai mendoakan abagnnya ditemui dalam keadaan selamat.

Polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi itu yang keluar rumah pada 7.45 petang semalam.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada jam 4.22 pagi.

Adik arwah menyatakan abangnya ketika itu memakai baju berwarna biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjoging.

Lokasi terakhir keberadaan Nidza Afham adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.