Skip to main
Logo Malaysiakini

Mungkin ini yang terbaik - Nora

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Penyanyi Nora Ariffin berharap isu perceraiannya yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini tidak lagi dipanjangkan bagi mengelak timbul isu lain yang tidak diinginkan.

Katanya, perkongsian yang dibuat berhubung status perkahwinan dia dengan Rushdi Ramli adalah sekadar keperluan membuat hebahan.

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat memberi apa-apa respon pada isu ini. Saya tidak mahu memanjangkannya lagi.

“Cukuplah orang tahu status perkahwinan saya sekarang supaya tidak mendatangkan fitnah,” katanya di media sosial.

Terdahulu, Nora mendedahkan sebuah klip video memaparkan dia diceraikan talak satu oleh Rushdi.

Nora, 51, mengiringi hantaran itu dengan berkata: “Alhamdulillah, selesai.”

Beberapa jam kemudian, Nora memuat naik kenyataan memohon agar pensyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul di Universiti Malaya itu tidak dipersalahkan dalam isu berkenaan.

Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer terkenal, Johan Nawawi, pada 1992.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata. Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Nora mengumumkan sudah kembali bergelar isteri kepada Rushdi dalam satu majlis yang diadakan hujung 2021.

Menurut Nora, sama seperti manusia lain, dia juga tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan namun penyanyi Di Persimpangan Dilema itu mendakwa tidak mempunyai sebarang masalah dengan Rushdi.

“Sebelum ini hubungan kami baik-baik saja,” katanya.

Menurut Nora, dia menerima takdir dan ketentuan yang dituliskan untuknya selain menyerahkan kehidupannya kepada Allah SWT.

“Alhamdulillah, saya berlapang dada di atas apa yang berlaku dan berserah dengan apa saja ketentuan Allah SWT. Mungkin ini yang terbaik.

“Jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dan memberi kata-kata semangat. Doa yang baik-baik juga untuk kalian,” katanya.