Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahli perniagaan dakwa trauma diugut samseng dihantar usahawan jamu

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Seorang ahli perniagaan mendedahkan dia mengalami trauma apabila usahawan wanita yang terkenal dengan produk jamu menghantar samseng untuk mengutip hutang yang didakwanya tidak wujud.

Enggan namanya didedahkan, ahli perniagaan itu berkata, usahawan wanita terbabit turut menggunakan platform media sosial untuk memburukkan imejnya dan rakan kongsi berhubung penganjuran sebuah konsert di Sarawak hujung tahun lalu.

“Saya dan rakan kongsi jadi mangsa penipuan oleh segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam penganjuran sebuah konsert.

“Saya ditipu dan kenyataan oleh usahawan wanita tersebut bukanlah perkara sebenarnya yang terjadi.

“Kami diperdaya untuk melabur dalam konsert berkenaan dengan janji dan jaminan pulangan 20 peratus keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ahli perniagaan itu, berdasarkan janji dan jaminan tersebut, pihaknya telah memindahkan wang untuk tujuan pembiayaan awal konsert tersebut.

Dakwanya, konsert tersebut juga dijalankan tanpa satu sen pun keuntungan.

“Saya hanya mengalami kerugian besar yang hampir mencecah RM1 juta ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, ahli perniagaan terbabit enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai usahawan wanita itu yang juga anak kepada seorang pelakon veteran.

Ahli perniagaan itu berkata dia mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan perkara terbabit.

Katanya, segala urusan bertulis baik kontrak, dokumen dan apa-apa rujukan berkaitan akan dibawa ke mahkamah bagi memberi penjelasan tentang kesahihan transaksi-transaksi yang telah dibuat.

Bagaimanapun, dakwanya, usahawan wanita terbabit tidak mahu menyelesaikan perkara itu melalui proses undang-undang.

“Mereka juga telah membuat representasi palsu bahawa konsert tersebut akan menerima jumlah yang besar daripada suatu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan negeri, tapi hanya sebahagian kecil yang diluluskan.

“Mereka juga mewujudkan suatu premis menggunakan alamat palsu sebagai cawangan pejabat perniagaan ahli perniagaan itu.

“Maklumat sebenar mengenai jumlah dana yang diluluskan hanya didedahkan kepada kami sebulan kemudian.

“Saya dan keluarga mengalami trauma kerana menjadi mangsa buli siber dia. Malah, kami juga gagal dapatkan projek baru kerana reputasi dicalar oleh mereka,” katanya.

Sehubungan itu, ahli perniagaan terbabit membuat laporan polis berhubung kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan kepada Malaysiakini telah menerima laporan polis daripada ahli perniagaan terbabit.

“Laporan dibuat di Ampang. Kes dirujuk kepada IPD Cheras,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.