Skip to main
Logo Malaysiakini

Buli siber: Ada orang DM mama - Meerqeen

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Isu buli siber bukan setakat terpalit pada diri sendiri, pelakon Meerqeen mendedahkan anggota keluarga terutama ibunya, Suraidah Yacob turut menerima tempias.

Kata Meerqeen, sekiranya tidak memberi respons kepada mereka yang cuba menagih perhatian, dia mendapati pihak yang tidak berpuas hati itu akan beralih arah dengan ‘menyerang’ ibunya di media sosial.

“Mungkin silap saya juga. Kita ini manusia, akan ada orang tidak berpuas hati kalau mereka tidak dapat perhatian yang diinginkan.

“Jadi, sasaran lain yang mudah adalah mereka cari keluarga kita. Ada orang berani Direct Message (DM) mama saya,” katanya.

Bagaimanapun, bagi mengelak timbul perkara tidak dijangka, Meerqeen, 23, sering berpesan kepada ibunya agar tidak mempedulikan mana-mana serangan pembuli.

“Ini tentang bagaimana kita kawal situasi dan bagaimana kita tutup sebelah mata untuk tidak melayan perkara negatif.

“Buli tidak OK, bukan saja pada artis, hal ini juga berlaku di sekolah-sekolah dan pada ramai orang.

“Jadi, saya pesan pada ibu jangan sesekali beri respons. Saya tidak mahu perkara negatif ganggu fikiran ibu saya. Dia masih bekerja dan perlu jaga anak-anaknya yang lain,” katanya.

Meerqeen berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala filem Harimau Malaya di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Filem yang sedang ditayangkan di pawagam itu diinspirasikan daripada senario di sebalik tabir skuad Harimau Malaya selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatannya selaku ketua jurulatih pada Januari 2022 dan bermula era Kim Pan Gon.

Meerqeen atau nama penuhnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam berkata, selain itu dia mengambil pendekatan untuk tidak membaca komen bagi mengelak unsur negatif mempengaruhi kesihatan mentalnya.

Menurutnya, mereka yang membuli tidak layak mendapat sebarang perhatiannya.

Respons akan melarat

“Apa yang saya pernah lalui tidak perlu diceritakan di sini benda yang boleh menghancurkan diri sendiri. Nanti orang tahu kelemahan saya apa.

“Dulu saya suka baca (komen), sekarang saya tidak rasa mereka boleh dapat lagi perhatian daripada saya. Saya juga cuba elakkan baca komen.

“Sebab perkara tidak baik adalah lebih baik disekat daripada beri respons kerana ia akan melarat. Lagipun, pengurus juga tidak benarkan saya beri respons kepada perkara begini,” katanya.

Sementara itu, mengenai wataknya dalam filem Harimau Malaya, Meerqeen berkata dia menerima tawaran untuk menjayakan peranan itu kerana ia diinspirasikan daripada kisah benar.

Malah katanya, dia juga sudah lama mengidam untuk beraksi dalam sebuah naskah bergenre kesukanan.

“Pada awal saya memang gementar untuk berlakon dalam filem ini sebab memang saya suka bermain bola sepak, tapi untuk lakonkan perkara yang kita suka apatah lagi ia akan ditayangkan di layar perak, menjadikan ia sukar sebenarnya.

“Saya juga tidak mahu nanti orang kata saya acah-acah main bola. Tapi disebabkan pengarahnya adalah Afdlin Shauki, saya sanggup terima cabaran itu,” katanya.