Skip to main
Logo Malaysiakini

Pameran seni sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke 50 Mexico-Malaysia

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Bersempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik antara Mexico dan Malaysia, orang ramai dijemput untuk meneroka seni kontemporari yang penuh warna-warni karya seniman Mexico Ricardo Chavez Tovar yang telah menetap di Malaysia selama lebih dua dekad.

Pameran bertemakan “Random Selection” itu menawarkan gambaran unik terhadap perjalanan seni beliau. 

Kebanyakan karya seni dalam pameran itu dihasilkan di dalam bilik gelap menggunakan kaedah fotografi yang tidak memerlukan kamera.

Duta Besar Mexico ke Malaysia Luis J. Campuzano berkata Tovar telah terlibat secara aktif dalam masyarakat Malaysia melalui karya seninya, termasuk memberikan khidmat rundingan dan menyumbangkan karya kepada Muzium & Galeri Seni Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

Beliau menambah bahawa semua karya seni untuk pameran “Random Selection” itu dihasilkan sepenuhnya di Pulau Pinang, Malaysia khususnya di Armenian Street, George Town.

“Fokus usaha seni ini adalah ‘sacred feminine’ yang berasal dari mitologi dunia dan implikasinya yang luas dalam seni, budaya, dan jiwa kolektif.

“Seni telah menjadi satu daripada platform utama dalam hubungan Mexico-Malaysia yang kini mencecah 50 tahun,” katanya kepada pemberita.

Tovar, 61, telah menetap di Malaysia selama 23 tahun dan kini merupakan Ketua Seni Halus di Pusat Pengajian Seni, Media dan Teknologi Reka Bentuk di Kolej Equator, Pulau Pinang.

Pameran “Random Selection” sedang berlangsung di Galeri Gilberto Aceves Navarro - Datuk Ibrahim Hussein di Kedutaan Mexico di Kuala Lumpur, sehingga diberitahu kelak. 

Ia dibuka dari 10 pagi hingga 2 petang, Isnin hingga Jumaat, dengan kemasukan percuma.

Orang ramai yang berminat untuk melawat dinasihatkan menghubungi Kedutaan Mexico di Kuala Lumpur di talian 03-2164-6362 terlebih dahulu.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Mexico telah terjalin pada 27 Mac 1974. Sejak itu, pertukaran dalam pelbagai bidang dua hala dan pelbagai hala telah menunjukkan peningkatan kerjasama antara kedua-dua negara.

Kedutaan Malaysia di Mexico telah ditubuhkan pada 1992.

- Bernama