Skip to main
Logo Malaysiakini

Dafi tak putus asa walaupun ada dah lupa dia penyanyi

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Menyedari kehadiran dirinya sebagai penyanyi mungkin tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan, namun Dafi masih bersemangat dan tidak berputus asa dalam bidang seni kerana minatnya yang mendalam.

Kata penyanyi yang mencipta nama melalui program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu, dia juga tidak melihat percubaannya yang kurang berjaya dalam bidang seni sebagai pematah semangat sebaliknya pemangkin untuk terus berjuang.

“Sebagai anak seni, keadaan sebegitu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini,” katanya.

Justeru, pemilik nama penuh Gadaffi Ismail Sabri itu memilih Ogos ini sebagai permulaan untuk dia keluar dari dunia 'pertapaan' selepas lama menyepi.

Menurut Dafi, 35, kali ini dia muncul dengan single terbaru berjudul Hellooo! sebagai bukti dia masih kekal aktif dalam dunia nyanyian.

Penyanyi itu juga menyifatkan Hellooo! menjadi simbolik kepada kekuatan dirinya yang tidak pernah berputus asa dalam hidup.

“Sudah lama sebenarnya saya tidak tampil dengan single baru, sehinggakan ada yang lupa saya sebenarnya penyanyi. Ini kerana saya lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan.

“Memandangkan karya ini sudah lama berada dalam simpanan dan sudah dirakamkan, ini adalah masa terbaik untuk dilancarkan khas untuk halwa telinga semua pihak.

“Beberapa tahun tertangguh, tidak dinafikan ada rasa ralat sedikit kerana semuanya sudah disiapkan, cuma ada hal teknikal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan ia disimpan dulu,” katanya.

Hellooo! garapan komposer Altimet dan lirik Shazee Ishak itu bukan saja dianggap sebagai hadiah kepada peminat bahkan diharap dapat menarik perhatian generasi muda untuk mengenali dirinya.

Dafi - yang kini bergerak tanpa terikat dengan mana-mana label - mengakui dia lebih bebas berkarya dan bereksperimentasi meneroka arena nyanyian.

Penyanyi itu menjelaskan hala tuju muziknya kini sudah berubah apabila mempamerkan sisi kematangan terutama dalam menyebarkan aura positif.

Katanya, semakin dewasa dalam dunia muzik, dia ingin menyajikan kelainan sewaktu menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat muda, persahabatan dan juga aura positif itu.

“Saya dikenali menerusi lagu Bila Terasa Rindu, namun saya ingin bereksperimentasi dengan muzik sejajar dengan peningkatan usia, sekali gus memberi impak positif kepada kerjaya.

Single ini begitu istimewa kerana dihasilkan dua figura yang juga merupakan idola saya dalam industri.

“Karya yang mereka hasilkan sering mencetuskan magis, jadi pertama kali mendengar Hellooo! saya sudah jatuh cinta,” katanya.