ULASAN | Trauma 13 Mei dalam Snow in Mid-Summer
ULASAN | Lebih 55 tahun sudah berlalu. Mendung trauma 13 Mei 1969 masih belum berarak pergi. Luka masih terbuka. Penutupnya pula masih belum ditemui.
Sekurang-kurangnya buat keluarga yang terkesan langsung dengan rusuhan etnik tahun 1969 itu. Baik di luar layar perak, mahu pun di dalamnya, masing-masing masih mencari sembuh.
Di layar perak, tiada sembuh yang terjumpa. Sekurang-kurangnya buat Dou E dan Ah Eng, dua protoganis utama dalam filem Snow in Mid-Summer. Trauma, sayu dan pilu masih meleleh dari belahan luka yang belum tertutup.
Snow in Mid-Summer hasil buah tangan anak Malaysia, kelahiran Kedah, Chong Keat Aun. Sarat dengan simbolisme, metafora dan alegori, Snow in Mid-Summer bukanlah sebuah filem yang mudah.
Jika filem diandaikan sebagai sebuah teks, maka ia berselirat dengan subteks-subteks kompleks yang ditenun halus di dalam bingkai yang menjadikannya sebuah kisah tentang trauma, kesayuan dan kepiluan yang berterusan tanpa penutupan.
Kisah dari kacamata komuniti Cina Malaysia yang masih traumatik dengan pengalaman rusuhan etnik 13 Mei yang dilalui mereka.
Sungguhpun sebahagian besar daripada kisah dan dialog yang melatari Snow in Mid-Summer menggunakan bahasa Mandarin, Hokkien dan Kantonis dengan hanya beberapa babak sahaja yang memakai bahasa kebangsaan, ia sejatinya sebuah filem tentang Malaysia. Tentang kita. Tentang dahulu dan sekarang. Tentang ingatan yang tak lekang.
Chong Keat Aun membawa ingatan kita ke dua ruang dan waktu yang berbeza tapi berkesinambungan. Di bahagian pertama, pengkisahannya dibingkaikan dalam ruang dan waktu yang bermula tiga hari sesudah Pilihan Raya Umum 1969 sehinggalah ke malam petaka rusuhan etnik di Kuala Lumpur yang mengorbankan ratusan nyawa.
Berita rusuhan
Bahagian kedua, pengkisahannya dibingkaikan dalam ruang dan waktu yang lebih terkini yakni empat hari sesudah Pilihan Raya Umum 2018 dengan cerita yang bergerak dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan berakhir di sebuah perkuburan tanpa tanda yang tersorok di Sungai Buluh.
Bahagian pertama menjenguk masa lalu. Kurang lebih 55 tahun yang lampau di bulan Mei 1969. Lokasinya adalah sebuah deretan rumah kedai di salah satu daerah di Kuala Lumpur. Suatu pementasan opera Cina yang berjudul Snow in Mid-Summer sedang dipersiapkan. Di sini kita diperkenalkan dengan protoganis pertama iaitu pemain utama opera Cina yang membawa watak Dou E (lakonan Pearlly Chua).
Dou E adalah watak di dalam opera Cina yang dipentaskan dan juga watak di dalam filem. Satu watak yang sama di dalam dua teks yang berbeza. Dou E dalam opera, Dou E dalam filem. Dan di dalam filem Snow in Mid-Summer ada pula opera Snow in Mid-Summer. Teks dalam teks. Suatu bentuk kesinambungan antara dua kisah yang berkait antara satu sama lain.
Sebelum persembahan opera dimulakan patung Datuk Gong (dewa tempatan yang berpenampilan Melayu) diletakkan di atas sebuah kerusi di depan panggung. Barangkali sebagai simbol pelindung. Tapi ternyata pada malam itu Datuk Gong gagal melindungi.
Ketika Dou E sedang melakonkan wataknya sebagai sosok yang teraniaya di pentas opera, berita kerusuhan pun sampai. Khalayak panik. Pementasan dihentikan dan Dou E yang masih berbusana opera, lengkap dengan solekannya, bergegas turun daripada pentas menuju ke panggung Majestic untuk mencari ibu dan emak saudaranya yang berada di sana untuk menonton filem di malam tersebut.
Namun pintu panggung terkunci rapat. Dou E mencari jalan masuk menerusi bumbung. Tatkala di atas bumbung, apa yang tak sanggup untuk dilihat, akhirnya terlihat oleh Dou E.
Di babak ini, Chong Keat Aun membiarkan kengerian dizahirkan hanya menerusi pencahayaan dan bunyi suara semata. Kesannya cukup berbisa.
Dirasuk semangat Datuk Gong
Bayangan rupanya lebih mengerikan daripada tatapan visual. Kita sebagai khalayak diberi kesempatan untuk membayangkannya menerusi mata, wajah dan bahasa tubuh Dou E dengan latar bunyi tembakan dan cahaya api meliuk-liuk menjilat rakus disertai suara-suara amukan dan rintih kesakitan yang amat sangat.
Di kala itu, Dou E menyambung watak operanya di atas bumbung panggung Majestic dengan menyanyikan sebuah lagu sayu sambil melihat ke arah kengerian yang terjadi di depan matanya.
Dalam opera, Dou E dihukum bunuh oleh pengadilan negara walaupun dia tidak bersalah. Dalam filem, Dou E hilang lenyap tanpa ditemui jasadnya setelah rusuhan reda. Dari sisi ini, garis pembezaan antara opera dan filem menjadi kabur di dalam bingkai yang dilukis oleh Chong Keat Aun. Filem dan opera berbaur dalam suatu kesinambungan yang sayu dan menyayat hati.
Di bahagian pertama ini juga kita dipertemukan dengan protoganis kedua iaitu watak Ah Eng di waktu kecil (lakonan Koet Yenn Lim), seorang anak kecil yang bersekolah rendah di sekolah kebangsaan. Babak awal menunjukkan dia kemungkinan dibuli ketika di sekolah.
Barangnya disorok, bajunya dikotorkan dan tubuhnya disakiti. Ibu Ah Eng, seorang perempuan Cina keturunan Baba-Nyonya (lakonan Pauline Tan) kemudiannya telah membawa dia untuk menonton opera Cina, Snow in Mid-Summer.
Mereka bertemu dengan ayah (lakonan Peter Yu) dan abang Ah Eng di sebuah rumah kedai berdekatan dengan pentas opera. Rumah kedai tersebut juga beroperasi sebagai tempat seorang bomoh Cina “menurun” untuk mengubati abang Ah Eng yang dianggap degil dan nakal.
Bomoh Cina yang “dimasuki semangat” Datuk Gong itu kemudiannya menyampaikan pesan dan panduan dalam bahasa Melayu pasar kepada ayah Ah Eng tentang bagaimana untuk mengajar anak lelakinya itu.
Setelah selesai “berubat” ayah dan abang Ah Eng pun beredar menuju ke panggung Majestic untuk menonton filem Cina yang berjudul “The Jilted” (Yang Ditolak Cintanya). Sebelum “The Jilted” ditayangkan, treler filem Raja Bersiong yang lakon layarnya dibikin oleh Tunku Abdul Rahman dimainkan terlebih dahulu di hadapan khalayak. Suatu tanda awal barangkali tentang malapetaka yang akan berlaku pada malam itu.
Barangkali juga suatu tanda betapa kaburnya garis pembezaan antara kita khalayak yang menonton Snow in Mid-Summer dengan khalayak yang menonton treler Raja Bersiong dan filem “The Jilted”. Kita menonton mereka menonton filem. Dari sisi ini, kita dan mereka menjadi khalayak bersama dalam sebuah tragedi yang bakal menimpa di layar perak.
Sementara itu, Ah Eng dan ibunya pula menonton persembahan opera Snow in Mid-Summer. Kerusuhan yang berlaku pada malam itu menyebabkan persembahan opera dihentikan separuh jalan. Ah Eng dan ibunya bersembunyi di belakang pentas sementara menunggu rusuhan reda.
Setelah reda, barulah Ah Eng dan ibunya bergegas ke panggung Majestic untuk mencari suaminya dan abang Ah Eng. Sepertimana Dou E, ayah dan abang Ah Eng juga hilang lenyap tanpa ditemui jasad mereka berdua.
Bahagian pertama ini turut dilatari oleh babak surreal dengan kemunculan watak Tun Sri Lanang, pengarang Sejarah Melayu yang menunggang gajah sambil tangan kanannya menggenggam keris, manakala tangan kirinya pula memegang durian. Setelah turun dari gajah, dia berjalan menuju ke arah suatu sosok lelaki berbusana opera Cina (Maharaja Cina?) yang berada dalam posisi melutut menyembah ke arah Tun Sri Lanang.
Di hadapannya terletak sebuah bekas berisi air. Babak seterusnya digelapkan. Hanya kocakan air seperti menghirup dan membasuh muka yang kedengaran. Suatu perlambangan yang sarat dengan makna.
Antara durian dan keris. Dua yang tak terpisah dalam menelusuri makna daripada peristiwa rusuhan etnik 13 Mei. Dari sejarah kita akan menemui bagaimana acara jamuan makan durian banyak dianjurkan oleh pihak kerajaan untuk mendamaikan dan merapatkan kembali hubungan antara etnik selepas peristiwa 13 Mei 1969. Sementara itu keris pula simbol kuasa di dalam budaya Melayu.
Justeru, perdamaian hanya boleh berlaku jika sekiranya terdapat pengiktirafan ke atas kuasa. Mengiktiraf kuasa politik Melayu.
Jangan lagi mencabar kuasa politik Melayu. Tunduk kepada kuasa politik Melayu. Barangkali itu yang cuba disampaikan oleh Chong Keat Aun dalam mentafsir makna rusuhan etnik 13 Mei 1969 dari kacamata dia (dan komuniti Cina?) menerusi babak surreal tersebut.
Bahagian pertama filem Snow in Mid-Summer diakhiri dengan imej patung Datuk Gong yang diletakkan di atas kerusi di hadapan panggung telah terpenggal kepalanya.
Bahagian kedua menampilkan jangkala waktu yang sudah pun berubah. Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Umno akhirnya tumbang setelah 63 tahun memerintah negara.
Ah Eng pula telah berumahtangga dan kini menetap di Pulau Pinang. Ibunya telah meninggal dunia. Jasad ayah dan abangnya masih belum ditemui. Jiwanya masih belum tenang. Penutup kepada trauma, kesayuan dan kepiluan hati yang diusung oleh dirinya sejak 49 tahun yang lalu masih belum dijumpai.
Kerajaan baru mungkin membawa harapan baru. Ah Eng nekad untuk ke Kuala Lumpur menyambung pencarian yang dilakukan oleh ibunya sebelum ini. Kubur yang menjadi tempat bersemadinya jasad ayah dan abangnya perlu terus dijejaki.
Melanggar arahan suaminya untuk dia menghentikan kerja yang sia-sia itu, Ah Eng keluar rumah. Destinasinya Kuala Lumpur dan Sungai Buluh. Suatu perkuburan mangsa-mangsa yang terbunuh dalam rusuhan 13 Mei 1969 baru sahaja ditemui setelah sekian lama tersembunyi (atau disembunyikan?).
Menumpang kereta kakak iparnya untuk ke stesen bas, Ah Eng dinasihati supaya mendengar kata suaminya, yang juga merupakan abang kepada kakak iparnya itu. Kakak ipar Ah Eng yang kini memeluk Islam baru sahaja diceraikan oleh suaminya, seorang yang bergelar Datuk.
Dia kini merancang untuk pindah ke Australia bersama anaknya. Perbualan di dalam kereta tersebut adalah realiti yang ditampilkan oleh Chong Keat Aun kepada mana-mana bukan Muslim yang berkahwin dengan Muslim di Malaysia.
Tiada istilah berpatah balik ke agama asal. Mungkin hanya dengan berhijrah ke luar negara sahaja, perpindahan kembali ke agama asal atau keluar daripada Islam boleh dilakukan.
Bas yang membawa Ah Eng sampai ke Kuala Lumpur berhenti berhampiran dengan Majestic. Bukan panggung wayang yang ditemui oleh Ah Eng tapi sebuah hotel. Banyak yang telah berubah. Modal dan kuasa bisa menukar segalanya. Dari panggung wayang ke hotel. Mungkin ia lebih menguntungkan.
Modal, ringgit dan dorongan mengaut untung telah memadamkan ingatan sejarah yang ada pada sebuah ruang. Namun tetap sahaja Ah Eng meletakkan sajian yang dibikinnya dan membakar colok di hadapan bangunan yang kini telah menjadi sebuah hotel moden yang sisa-sisa sejarahnya tak terlihat barang sedikit pun.
Sisa-sisa sejarah hanya ditemui oleh Ah Eng di bawah pohon ara berhampiran sebuah kedai makanan Islam yang disinggahi dia. Kepala patung Datuk Gong yang terpenggal 49 tahun lampau terbiar bergelimpangan di bawah pohon ara.
Di sisi pohon tersebut sebuah ruang sembahan baru telah dibina. Di dalamnya disandingkan patung dewi Kuan Yin dengan patung Datuk Gong yang baru. Keduanya bergemerlapan. Suatu gandingan baru. Barangkali simbol perubahan kerajaan yang baru.
Sementara itu sisa-sisa kulit durian yang diikat tali bergentayangan dari dahan-dahan pohon ara tersebut. Hanya raungan pilu Ah Eng yang kedengaran ketika dia menemukan kepala Datuk Gong. Raungan yang membawa ingatan dia kepada malam persembahan opera Snow in Mid-Summer, malam hilang dan lenyapnya ayah dan abang dia.
Menaiki teksi ke kawasan perkuburan mangsa-mangsa tragedi rusuhan etnik 13 Mei, Ah Eng dihadapkan dengan perbualan daripada si pemandu teksi tentang hospital kusta yang dibina berhampiran dengan kawasan perkuburan tersebut.
Si pemandu teksi menceritakan bagaimana penyakit kusta sangat ditakuti oleh orang-orang Cina sehinggakan saudara mereka sendiri yang dijangkiti kusta pun akan dijauhi dan disisihkan.
Sampai di kawasan perkuburan tersebut, Ah Eng bertemu dengan sekumpulan pemain opera Cina yang sedang berurusan dengan pegawai kerajaan untuk mementaskan opera di kawasan tersebut tetapi tidak dibenarkan.
Berhampiran perkuburan itu, di dalam bingkai yang sama sebuah jengkaut sedang beroperasi meratakan tanah untuk suatu projek pembangunan yang baru. Kuasa negara dan modal diletakkan dalam satu bingkai yang sama. Melarang pementasan cubaan memadamkan ingatan. Meratakan tanah cubaan melupuskan sejarah.
Kerajaan mungkin sudah bertukar. Namun pengaruh kuasa dan modal sudah terlalu lama mengakar. Mengekalkan mungkin tidak menguntungkan. Ingatan sejarah silam yang sensitif tidak berpotensi dijadikan wang ringgit. Malahan berpotensi pula membuka kembali luka lama. Mungkin begitu pertimbangan kuasa dan modal.
Namun ingatan dan sejarah terus berkumandang di kawasan perkuburan tersebut dengan kemunculan Dou E yang tidak dimamah usia lengkap dengan busana dan solekan operanya, menyanyikan sebuah lagu pilu dari Snow in Mid-Summer dengan bait liriknya “Jangan kau mencintai mereka yang tak mencintaimu”.
Trauma di tahun 1969 terus berlangsung sehingga ke kawasan perkuburan di tahun 2018. Sekurang-kurangnya buat Ah Eng dan Dou E.
Lukanya masih belum kering. Jiwa-jiwa yang terkesan dengannya juga masih terus gering. Baik buat jasad yang hidup mahu pun roh si mati.
Di deretan batu-batu nesan yang bernama dan tak bernama itu, Ah Eng masih tak bertemu dengan kubur ayah dan abangnya. Tapi dia dipertemukan kembali dengan Dou E yang di akhir filem menanyakan kepada Ah Eng, “Apakah kau akan kembali ke sini lagi di tahun hadapan?”
Hanya tangisan dan raungan pilu dari Ah Eng yang menggemakan jawapan.
RUHAN SHAHRIR seorang penyelidik akademik, juga pemerhati isu-isu semasa.
Artikel ini padangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai