Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenayah meningkat, Siti Saleha seru lebih berwaspada

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pelakon popular, Siti Saleha menitipkan pesanan agar masyarakat sentiasa berhati-hati ekoran laporan kes jenayah yang semakin meningkat.

Aktres itu yang melahirkan perasaan bimbangnya terhadap isu semasa berkata setiap individu harus lebih peka dengan jenayah yang berlaku di persekitaran masing-masing agar tindakan wajar demi keselamatan dapat diambil.

“Saya sedih apabila baca berita semasa. Kenalah sentiasa beringat apabila berada di luar rumah, kalau tahu tempat yang itu tidak selamat, elakkan,” katanya.

Siti Saleha, 34, bahkan berkata dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga walaupun memiliki ilmu dan kemahiran mempertahankan diri.

Katanya, dia pada kebanyakan masa akan keluar bersama-sama rakan yang boleh dipercayai saja.

“Walaupun pun saya ada asas Muay Thai, apabila ke mana-mana saya tetap minta ditemani pengurus atau kawan-kawan.

“Cuma untuk beli barang dapur atau isi minyak, saya tidak kisah buat sendiri, yang penting buat pada waktu siang,” katanya.

Saleha, berkata demikian pada majlis pelancaran drama siri terbaru lakonannya, The Secret untuk tayangan platform penstriman, Viu di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur kelmarin.

Selain Siti Saleha, siri arahan Jason Chong yang boleh ditonton melalui aplikasi Viu bermula hari ini itu turut dibintangi Remy Ishak, Sara Mack Lubis, dan Nadiya Nisaa.

Pada masa sama, Siti Saleha menyeru agar masyarakat yang menjadi mangsa jenayah tidak mengambil sikap berdiam diri.

“Tidak kiralah anda perempuan atau lelaki. Jangan diamkan diri kerana ia akan ganggu kesihatan mental,” katanya.

Selain itu, Siti Saleha berkata dia mengambil langkah berwaspada sebelum berkongsi apa saja di media sosialnya terutama membabitkan sesi siaran langsung.

Katanya, melalui siaran secara langsung itu seseorang boleh terdedah kepada perkara yang boleh mengancam keselamatan tanpa disedari mereka.

“Orang boleh tahu keberadaan anda. Atas sebab itu, saya jarang buat siaran langsung dan kongsi keadaan persekitaran rumah saya.

“Kita kena bijaklah berkongsi aktiviti di media sosial,” katanya.