Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari gelap, keputusan sangat pelik - Yasin

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Penyanyi Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 49, kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atasnya berkaitan pertuduhan dadah dihadapinya.

Dia yang digari sebelum dibawa ke Penjara Kajang, sempat berkata kepada wartawan bahawa ia adalah “hari yang gelap”, ketika meninggalkan Mahkamah Tinggi, hari ini.

“Hari yang gelap dan keputusan yang sangat pelik. Apa yang saya tidak boleh terima kenapa saksi pakar tidak langsung diambil keterangan dan tidak dipakai (Mahkamah Tinggi).

“Itu sesuatu yang sangat pelik,” katanya seperti dilaporkan media.

Dia kelihatan terkejut dengan keputusan mahkamah hari ini.

Sebelum itu, selepas hakim meninggalkan kamar selepas menjatuhi hukuman tersebut, Yasin menanggis dan berpelukan dengan ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 16 tahun.

Hakim Norsharidah Awang menjatuhi hukuman itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan melepas dan membebaskan Yasin, oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 Nov 2023.

Pelantun Mimpi Laila itu dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan untuk kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.

Bagi kesalahan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan manakala untuk kes memberi dirinya dadah berbahaya, dia dihukum penjara 10 bulan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Mac 2022.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin pada 29 Nov 2023 melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan dadah dan memerintahkan lelaki itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Norsharidah dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya itu didapati terkhilaf dalam membuat keputusan tersebut.

Beliau berkata persoalan yang timbul adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan dengan hanya bergantung kepada keterangan saksi pembelaan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony yang dikemukakan pihak pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Penyanyi itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum bawah Seksyen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Ariff Azami ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan akan memasukkan notis rayuan berhubung keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu esok.