Skip to main
Logo Malaysiakini

Green Day gegar KL julung kali Feb 2025

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Buat peminat yang menunggu sekian lama, kumpulan rock AS, Green Day akhirnya mengumumkan mereka bakal mengadakan konsert sulung di Kuala Lumpur pada 18 Februari tahun depan.

Pastinya, band yang terkenal dengan lagu Basket Case itu bakal melakar peristiwa bersejarah di Malaysia kerana bakal menghimpunkan ribuan penonton.

“Malaysia, akan ada kali pertama untuk segala-galanya. Kami teruja untuk beraksi pada 18 Februari di Stadium Hoki, Kuala Lumpur,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kumpulan ditubuhkan di Rodeo, California pada 1987 itu dianggotai oleh vokalis, Billie Joe Armstrong, pemain bass, Mike Dirnt dan pemain drummer, Tre Cool.

Untuk rekod, band itu pertama kali dikenali dengan nama Blood Rage dan kemudian menukar nama mereka kepada Sweet Baby sebelum akhirnya menjadi Green Day.

Green Day mencipta sejarah dalam dunia muzik sejak dekad 90-an melalui lagu-lagu hits seperti Welcome To Paradise dari album Kerplunk, Geek Stink Breath (Insomniac), Hitchin A Ride (Nimrod) dan When I Come Around (Dookie).

Selain itu, Green Day turut terkenal dengan lagu seperti American Idiots, Wake Me Up When September Ends dan 21 Guns.

Green Day antara kumpulan rock terlaris sepanjang zaman dengan album jualan melebihi kira-kira 75 juta di seluruh dunia pada 2024.

Kumpulan itu juga pernah memenangi Anugerah Grammy sebanyak empat kali dengan 17 pencalonan sebelum ini.

Kehadiran kumpulan itu di Malaysia merupakan salah satu destinasi bagi Green Day The Saviors Tour yang bakal menampilkan kumpulan rock wanita, The Linda Lindas dan kumpulan rock alternatif, The Smashing Pumpkins.

Konsert itu turut menampilkan kumpulan rock punk, Rancid.