Skip to main
Logo Malaysiakini

'Darurat Demokrasi': Reza Rahadian enggan terus diam

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Manipulasi keputusan Mahkamah Perlembagaan berhubung soal pemilihan ketua wilayah (Pilkada) yang dilakukan Badan Legislasi (Baleg) Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) menjadi sorotan jutaan masyarakat Indonesia dan dunia.

Bermula dari mahasiswa, kalangan selebriti, pelawak hingga badan profesional menyuarakan bantahan terhadap perubahan pindaan undang-undang berkaitan pilihan raya, antaranya berhubung syarat minimum umur calon yang bertanding.

Seorang daripada artis Indonesia terkenal yang turun padang memprotes di luar bangunan Parlimen, Jakarta, semalam adalah Reza Rahadian.

Pelakon yang turut popular di Malaysia itu mengakui selama ini dia cenderung berhati-hati dalam mengambil pendirian berhubung situasi politik tanah airnya termasuk Rang Undang-Undang Pilihan Raya Daedah (RUU Pilkada). Dia sebelum ini enggan ikut campur dalam pemilihan umum (Pemilu) dan Pilkada.

Namun, saat badan perlembagaan Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR) dan pemerintah bersepakat mengabaikan keputusan Mahkamah Perlembagaan (MK), Reza Rahadian kemudian menolak untuk terus berdiam dan ikut memprotes.

“Saya sudah tidak boleh lagi diam. Saya tidak bisa tidur tenang di rumah. Saya berasa ini adalah waktu yang tepat untuk saya keluar bersama kawan-kawan semua,” katanya ketika menyapa penunjuk perasaan.

Dalam kesempatan itu, Reza Rahadian, 37, yang terkenal melalui filem seperti Perempuan Berkalung Sorban, Rudy Habibie dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck menghargai keputusan MK berhubung syarat peserta Pilkada.

“Dan hari ini, kami menerima keputusan yang sangat kami hormati daripada Mahkamah Perlembagaan, tapi mereka (anggota dewan) masih cuba merompak dan menghalang,” katanya.

Menurut Reza Rahadian, MK sedang mengembalikan keluhuran sebagai penjaga perlembagaan, bagaimanapun persetujuan antara badan perlembagaan DPR dan kerajaan untuk mengabaikan keputusan MK amat dikesali.

Pelakon itu malah turut mempersoalkan sikap DPR.

“Lalu hari ini kita mendapati bahawa itu cuba dibatalkan oleh sebuah lembaga yang katanya adalah wakil-wakil kita semua hari ini, lantas anda-anda di dalam ini wakili siapa?” katanya.

Pada masa sama, Reza Rahadian yang menyarungkan baju berwarna hitam ketika itu mengajak penunjuk perasaan menyampaikan hasrat mereka secara beradab demi menjaga demokrasi Indonesia.

Bahkan, berkali-kali pelakon itu berkata, kehadirannya tidak mewakili mana-mana parti bahkan dia juga tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi terhadap protes yang dilakukan.

Reza Rahadian kemudian menegaskan bahawa Indonesia bukan milik keluarga tertentu, ucapannya itu kemudian disambut dengan sorakan penunjuk perasaan.

Katanya, keputusan MK yang bersifat muktamad dan mengikat harus dihormati semua pihak termasuk lembaga legislatif.

“Ini bukan negara milik keluarga tertentu. Kalau ada nombor dalam undang-undang kemudian hanya dibela keluarga tertentu, sedih saya,” katanya.

Antara lain, bantahan ditujukan kepada “dinasti politik” Presiden Indonesia Joko Widodo dan usaha pencalonan anaknya, Kaesang Pangarep, sebagai wakil gubernur daerah Jawa Tengah.

Selain Reza Rahadian, barisan selebriti turut bersuara membantah pindaan undang-undang pilihan raya itu adalah pengarah terkenal, Joko Anwar, penyanyi Ayu Ting Ting dan Once Mekel.

Selain turun ke jalan, beberapa artis lainnya termasuk vokalis band Sheila On 7, Duta Modjo, memuat naik hantaran berulang menunjukkan lambang darurat demokrasi iaitu Garuda Biru.

Penyanyi bernama lengkap Akhdiyat Duta Modjo itu menambah keterangan: “Hasbunallah wa ni’mal wakiil Ni’mal maula wa ni’man nasiir” (Cukuplah bagi kami Allah sebagai penolong dan Dia adalah sebaik-baik pelindung.)

DPR Indonesia semalam menangguhkan kelulusan pindaan RUU Pilkada susulan kekurangan korum dan protes yang sedang berlaku di beberapa bandar utama.

Hanya 86 daripada 560 anggota hadir, kata Timbalan Speaker Sufmi Dasco Ahmad di Parlimen di Jakarta, sambil menegaskan bahawa kepimpinan akan menilai kebimbangan awam dan kesan RUU terhadap pencalonan Pilkada sebelum menjadualkan semula undian.