Skip to main
Logo Malaysiakini

Ezlyn jadi 'pakar rujuk' isu poligami

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Penyanyi dan pelakon Ezlynn Ariffin mendedahkan pengguna alam maya sering menghubunginya melalui media sosial untuk meminta petua mahupun bertanyakan soalan berhubung poligami.

Ezlynn yang menjalani kehidupan bahagia dengan bermadu berkata, mereka menghantar mesej peribadi sama ada melalui Instagram atau TikTok kerana ingin mengetahui bagaimana cara mengekalkan keharmonian dalam berkongsi kasih.

“Mereka tanya apa yang bagus tentang poligami dan bagaimana saya uruskan sekiranya timbul isu apabila suami berkahwin lebih daripada satu.

“Kalau ada pengalaman boleh dikongsikan dan membantu saya beri. Saya dah macam pakar kaunseling untuk isteri pertama dan kedua,” katanya.

Namun Ezlynn, 42, menyedari tidak semua wanita mampu melihat suami berkahwin lain.

Justeru, penyanyi Hi Hi Bye Bye itu mengingatkan, poligami membawa implikasi yang besar terhadap kesihatan mental seseorang wanita.

“Tidak semua wanita boleh menerima poligami. Untuk berpoligami memerlukan kekuatan mental. Kalau tidak boleh, cakap tidak. Jangan sampai jadi gila, lepas itu buat dosa.

“Tapi kalau suami pandai pujuk dan dia jalankan tanggungjawab dengan baik, kenapa tidak?” katanya pada sidang media filem Indonesia, Dua Surga Dalam Cintaku di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem arahan Kiki Nuriswan itu dijayakan barisan pelakon seperti Aliff Alli dan Keira Shabira. Ia dijangka menjengah pawagam seluruh Malaysia bermula 29 Ogos ini.

Ezlynn malah mengakui, sebelum membenarkan Wan Mohd Hafizam - yang baru dinikahi setahun ketika itu berkahwin lain - emosinya juga bergolak hingga merasai kekurangan keyakinan diri.

Katanya, sebelum mempunyai kekuatan dalam memberi kesempatan kepada perempuan lain bernikah dengan suami, dia ada bertanyakan pelbagai soalan kepadanya.

“Sudah tentu masa itu saya rasa sedih dan hancur sebab saya seorang wanita. Saya bertanya soalan padanya: adakah saya tidak cantik, tidak melayan hatinya dengan baik atau adakah saya tiada masa untuknya.

“Tapi dia jawab saya adalah isteri yang sempurna. Jadi saya sedar memang fitrah lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu.

“Sebelum berkahwin saya kata mahu syurga tertinggi, tapi lepas berkahwin tidak mahu lalui ujian-Nya pula, jadi saya harus cekal,” katanya.

Ezlynn berkahwin dengan Wan Mohd Hafizam yang juga penderma hati pertama negara pada 11 September 2021. Dia sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Adam Fahmy pada 20 November 2011 namun bercerai pada 23 Oktober 2017.