Skip to main
Logo Malaysiakini

Yasin sepatutnya dirawat bukan dihukum — NGO

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman sepatutnya dihantar untuk rawatan kesihatan mental, kata Persatuan Kesedaran Malaysia.

Presiden NGO itu, Muhammad Harish Kumar berkata langkah menghukum tidak menghalang penagihan dadah, yang merupakan isu kesihatan.

“Seperti yang kita dapat lihat daripada banyak kes jenayah lain, apabila seseorang itu mempunyai masalah kesihatan mental, mereka pada dasarnya akan dihantar ke Tanjung Rambutan atau mana-mana hospital yang boleh merawatnya.

"Dalam kes Yasin saya percaya bahawa (rawatan) adalah penyelesaian yang tepat supaya dia boleh mendapatkan rawatan yang sewajarnya tetapi malangnya kerana undang-undang sedia ada ia jatuh kepada hukuman penjara seumur hidup dan sebat," katanya pada program BFM yang membincangkan mengenai pendekatan kepada jenayah dadah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap Yasin atas tiga kesalahan dadah.

Sebelum itu, pada 2023, hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Faiz Dziyauddin melepas dan membebaskan penyanyi itu atas tiga pertuduhan dadah dan mengarahkannya ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, atas perkenan Sultan Selangor.

Peguam Yasin, Ariff Azami Hussein memberitahu Bernama bahawa pihaknya akan membuat rayuan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan solidaritinya kepada penyanyi itu dan keluarganya.

“Kepada saudara Yasin dan keluarganya, sebagai seorang muslim, doa saya bersama anda. Sebagai penggubal dasar, suara saya juga bersama anda," katanya dalam klip video yang disiarkan di Instagram.

Dia juga menegaskan bahawa pokok ganja yang ditanam oleh Yasin sangat kecil.

"(Pokok) nak mati pun ada," katanya.

Dia seterusnya memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail atas pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 baru-baru ini.

Pada 18 Julai, rang undang-undang itu diluluskan dengan undi suara majoriti selepas perbahasan oleh 31 senator.

Ia bertujuan untuk membezakan antara penagih dadah dan penyalahgunaan dadah, serta meluaskan skop rawatan dan pemulihan bagi penagih.

Bacaan kedua sebelum ini ditangguhkan supaya boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kesihatan dan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keselamatan untuk semakan.