Skip to main
Logo Malaysiakini

Perceraian Syamsul, Ira Kazar tiada kaitan lafaz taklik - peguam

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Peguam syarie mewakili Syamsul Yusof menegaskan perceraian pengarah filem itu dengan isteri, Ira Kazar tiada kaitan dengan lafaz taklik sebaliknya hanya disebabkan sudah tiada persefahaman.

Azmi Mohd Raiz berkata, dia malah tidak mengetahui sekiranya ada berlaku lafaz taklik kerana tidak dimaklumkan terlebih dulu oleh pengarah filem KL Gangster itu.

“Saya tidak tahu, saya tak tahu (mengenai lafaz taklik). Saya tidak dimaklumkan apa-apa (oleh Syamsul) pasal benda lain.

“Bagi pihak Syamsul, segala tuntutan dibuat terhadap Ira mengikut seksyen 47 (Enakmen Undang-Undang Keluarga Selangor) sudah pun kami serahkan kepada pihaknya selaku defendan," katanya dipetik Harian Metro.

Menurut Azmi, pihak peguam Ira yang diwakili peguam syarie, Fadil Abd Razak juga sudah memfailkan wakalah ketika prosiding perceraian yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selasa lalu.

Azmi yang ditemui media di perkarangan mahkamah baru-baru ini memberitahu kes perceraian pasangan itu ditangguhkan pada 25 September ini.

Menurutnya, penangguhan kepada tarikh baru itu dibuat kerana Ira selaku defendan baru melantik pihak peguam untuk mewakili dirinya bagi kes perceraian berkenaan.

Azmi berkata, Syamsul, 40, juga memang sudah bersedia melafazkan cerai terhadap Ira, namun terpaksa akur dengan keputusan mahkamah menangguhkannya ke tarikh baru.

Peguam itu sebelum ini juga mengesahkan Syamsul sudah memfailkan cerai terhadap Ira pada 19 Ogos lalu atas sebab mereka tidak lagi mempunyai persefahaman dalam perkahwinan yang dibina tidak sampai dua tahun.

Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin bernikah pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.